Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM: Langkah telah diambil bagi maksimumkan kapasiti HTAR

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah untuk memaksimumkan kapasiti pesakit di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebagai respons kepada lonjakan kemasukan pesakit Covid-19.

Ini termasuk menambah bilangan katil dan mengerahkan lebih ramai kakitangan kesihatan sejak bulan lalu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Mohd Shafiq Abdullah.

"Pada bulan Julai 2021, KKM telah menghantar tambahan 151 katil pesakit ke HTAR dan tambahan selanjutnya yang merangkumi 200 katil pesakit serta 30 ventilator akan dihantar ke hospital tersebut pada awal minggu hadapan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebagai respons kepada surat 11 Ogos dari Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang menggesa lebih banyak bantuan segera dihantar ke HTAR.

"KKM berterima kasih kepada Ahli Parlimen Klang atas keperihatinan beliau untuk memastikan maklum balas rakyat terutamanya penduduk sekitar Klang dapat disampaikan kepada pihak KKM," tambahnya.

Mengenai keadaan semasa, Shafiq mengatakan HTAR hari ini mencatatkan kadar penggunaan katil 154.73 peratus untuk pesakit Covid-19, iaitu 1,098 pesakit.

"Pihak KKM telah mengambil pelbagai tindakan drastik dan segera termasuklah memaksimumkan kapasiti untuk menerima kesemua pesakit yang memerlukan rawatan.

"Wad sedia ada juga telah dinaik taraf dan dibuat penambahbaikan dari segi kemudahan dan peralatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik dapat diberikan kepada para pesakit," katanya.

Dari segi tenaga kerja, Shafiq mengatakan pada 11 Ogos, 27 kakitangan kesihatan tambahan digerakkan untuk memperkuat operasi HTAR.

Charles dalam suratnya mengatakan bahawa keadaan di HTAR tetap mengerikan walaupun setelah lawatan mengejutnya dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sekitar dua minggu yang lalu.

Kekangan lain yang dikenal pasti termasuk jumlah ambulans yang terhad untuk mengambil pesakit dan Shafiq hari ini mengatakan bahawa HTAR sejak bulan lalu telah menerima sekurang-kurangnya satu bas ambulans yang diubah suai untuk digunakan.

Dia mengatakan bahawa pengurusan HTAR juga telah meningkatkan tahap kebersihan di bahagian kecemasan dan trauma, serta menangani aduan yang dikemukakan oleh Charles mengenai kelewatan makanan yang diberikan kepada pesakit.

Sementara itu, dia mengatakan keluarga pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke HTAR kini dapat menerima kemas kini melalui talian khas yang beroperasi sejak 30 Julai.

Pada awal bulan Julai, kerajaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM1.1 juta untuk HTAR, termasuk 60 katil dan peralatan tambahan yang tidak ditentukan oleh kementerian.

Secara keseluruhan, Shafiq berkata, HTAR dari Januari hingga Julai menerima sejumlah RM9.25 juta daripada RM57.3 juta peruntukan kecemasan untuk pemerolehan ventilator, katil, pam infusi, mesin glukosa darah, monitor pesakit dan alat lain.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada sumber yang disalurkan ke hospital di Lembah Klang yang kini perlu menangani kes positif Covid-19 yang tinggi setiap hari.