Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Sebuah mimpi yang amat sederhana

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Langit sudah kelihatan berat benar. Awan hitam bergulung-gulung. Kilat sambar-menyambar dan halilintar sahut-menyahut. Angin kencang melengkapkan lagi cuaca yang mendebarkan ini.

Dan angin tidak sekadar menolak awan. Angin datang dengan berita dan cerita. Bukan cerita baru, tetapi cerita lama yang berulang-ulang. Ia menambah resah kepada orang ramai yang sudah muak dengan cerita kematian saban hari.

Itulah yang berlaku di depan kita sekarang.

Sebenarnya orang ramai sudah semakin lecuh. Tersepit di antara tuntutan keperluan hidup yang kini jarang-jarang terpenuhi dan keadaan yang tidak menentu adalah posisi yang amat menyesakkan.

Maut kini semakin dekat dan ia seolah-olah menyeringai untuk merentap degup jantung pada masa terdekat.

Tidak cukup dengan itu, rakyat dipaksa untuk melihat ulah para pelakon hebat sedang menunjukkan bakat masing-masing dengan penuh penghayatan. Ia berlaku ketika para aktor yang mencari makan - besar dan kecil, terkenal atau mandom - semakin terhimpit hidup mereka kerana larangan penggambaran masih terus mencengkam.

Syarikat penerbitan filem dan drama pula kehabisan akal untuk merayu kepada kerajaan agar diberi ruang bernafas.

Kita pun jadi kagum secara spontan. Rupa-rupanya pelakon terhebat yang kita ada bukanlah para artis atau selebriti yang kadang-kadang menyebalkan itu, sebaliknya mereka adalah orang politik yang bercokol di sana sini.

Langit semakin memberat. Awan semakin bergulung-gulung. Kilat terus sambar-menyambar dan halilintar sahut-menyahut. Angin kencang kian kuat bertiup. Namun hujan belum jua datang.

Yang datang cuma berita dan cerita.

Sebenarnya di atas muka bumi bertuah ini harapan sudah melimpah-ruah. Ia membuak-buak di dalam dada. Dalam keadaan sekarang, harapan itu kelihatan amat sederhana.

Terpampang ke seluruh dunia

Orang ramai hanya mahu diberikan peluang melihat keadilan terlaksana di atas dunia. Benar tetap benar, dan kejahatan tetap terhukum. 

Kita tahu, pada akhirnya memang itulah yang akan berlaku, tetapi sebagai manusia biasa yang serba lemah - dan sudah amat lemas - kesabaran tidak selalu ada.

Kehendak rakyat amat sederhana. Tidak semewah Mercedes-Benz siri baru atau unta merah untuk agamawan yang terberahi kepada dunia. Tidak juga godaan tawaran gaji sebagai menteri kanan, menteri kiri, atau penasihat bertaraf menteri. Jauh sekali berangan-angan menjadi duta yang kerjanya tidak ada kecuali melabun.

Sederhana amat impian rakyat.

Orang ramai mahu melihat yang jahat terlihat jahat, dan yang sabar akan memetik buah dari benih yang ditanam mereka dengan sabar. Itu saja.

Selepas dipermainkan, diperbodohkan, digula-gulakan, diperkotak-katikkan, dihaiwankan, dikhianati, diperdaya, dibelit, dihina, diketawa kerana papa, dinista, difatwakan ahli neraka, dijual beli; Tuhan, apa yang diidamkan itu rasanya amat sederhana.

Biarlah yang hitam menjadi hitam, yang putih ternampak putih. Yang kelabu kita ikhtiarkan agar diarahkan ke jalan yang benar. 

Topeng para pelakon, pelawak dan petualang bernama ahli politik itu mohon dihancurkan. Bogelkan, agar segala rahsia, kurap panau dan makar mereka terpampang ke seluruh alam.

Ketika saban hari kita kian cemas melihat penyakit dan maut semakin mendekati, sekurang-kurangnya biarlah ada cerita yang datang untuk melegakan sedikit kerisauan. Biarlah terhibur sejenak kesedihan ini.

Untuk menjaga adab sebagai manusia yang berpengetahuan, mungkin kita boleh cuba menahan diri daripada berkata: "Padan muka!". Cuba.

Langit semakin berat. Awan terus hitam bergulung-gulung. Kilat bertambah galak sambar-menyambar. Halilintar menggegar. Angin kian kencang dan mendebarkan.

Adakah hujan menjadi penamat cuaca tidak menentu ini? Kalau benar hujan, bila? Esok? Atau mungkin lusa? Mungkin juga tidak ada dan kita kekal terpanggang oleh kemarau.

Tuhan, keinginan ini kiranya amat sederhana.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.