Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ramuan suatu bencana

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sudah lebih dua minggu kita menerima laporan jangkitan pandemik Covid-19 sekitar 18-20,000 setiap hari. Laporan ini memang meresahkan hati kita, keresahan ini ditambah lagi dengan bermacam lagi ketidaktentuan politik.

Ujian sebegini belum pernah dihadapi oleh mana-mana kerajaan, baik BN mahupun PH sebelum ini.

Namun, walau dengan segala kesukaran yang wujud, kita tetap dapat melihat cahaya di hujung jalan.

Antaranya, walaupun ribuan dilaporkan dijangkiti virus korona ini tinggi, kita dapat lihat bahawa peratusan kesan jangkitan bagi kategori satu dan dua amat tinggi.

Ini bermakna, mereka yang dijangkiti mampu mengelak daripada mendapat kesan yang lebih kronik iaitu kategori 3, 4 dan 5.

Dan apabila kita membaca beberapa analisis dari laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka yang dijangkiti dengan simptom yang ringan atau tidak bergejala adalah kalangan yang telah divaksinasi, sama ada satu dos atau lengkap dua dos.

Sedangkan, jumlah mereka yang telah divaksinasi dengan mendapat kesan di tahap kategori 3, 4 dan 5 amat-amat kecil. Ini memberi indikasi bahawa vaksin memberi kesan yang positif. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah memberikan hasil.

Memang tak dinafikan ramai yang telah meninggal dunia akibat pandemik ini, namun jika kita kaji latar mereka yang tewas ini, kebanyakan mereka ini berumur lebih 50 tahun dan ke atas serta mempunyai rekod pelbagai masalah kesihatan.

Bagi pesakit berumur dan mempunyai kaitan penyakit tidak berjangkit atau noncommunicable diseases (NCDs) seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, barah, diabetes dan penyakit paru-paru kronik akan sangat terdedah pada kesan virus korona.

Sebelum munculnya Covid-19 pun kita telah ketahui dari laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia bahawa setiap tahun, lebih daripada 15 juta orang mati akibat NCD antara usia 30 dan 69 tahun; 85% kematian "pramatang" ini berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Seramai 15 juta orang yang mati setiap tahun ini bukan kerana virus corona.

Dari laporan dan kajian WHO yang diterbitkan oleh KKM pada 2015 dalam buku The Impact Of Noncommunicable Diseases And Their Risk Factors On Malaysia’s Gross Domestic Product, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komplikasinya menimbulkan ancaman yang nyata dan ketara ke atas Malaysia.

Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) pada tahun 2015 dianggarkan bahawa 3.5 juta (17.5%) orang dewasa Malaysia hidup dengan diabetes, 6.1 juta (30.3%) dengan hipertensi, 9.6 juta (47.7%) dengan hiperkolesterolaemia dan 3.3 juta (17.7%) dengan obesiti.

Bom jangka

Ini bermakna, masalah NCD di Malaysia ini sudah sedia wujud, ia seperti bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meledak. Dan, apabila datangnya virus korona ini, ia menjadi ramuan kepada suatu bencana.

Kita perlu memahami setiap sesuatu yang terjadi, ia memerlukan beberapa faktor untuk berlaku pada satu peringkat masa yang tertentu hingga membolehkan tragedi berlaku.

Kemalangan atau bencana mempunyai rantaiannya, ia tidak berlaku hanya dengan satu faktor sahaja iaitu virus korona.

Maka dalam kes ini, virus korona bukan satu-satunya faktor penyebab mengapa banyak kematian berlaku di Malaysia dan negara-negara yang ada masalah NCD pada rakyatnya.

Apa di sebalik masalah NCD ini? Setakat orang biasa seperti saya ini tahu dari pembacaan pelbagai berita dan laporan kajian, ia bermula dari sikap dan gaya hidup kita. Iaitu, kurang aktif, gagal menangani stress dengan betul dan cara atau diet pemakanan yang tidak seimbang. Ini termasuk cara hidangan dan waktu kita ‘melantak’.

Masalah NCD ini juga memberitahu tentang sikap pada penjagaan kesihatan, umumnya kita hanya merujuk kepada doktor apabila sakit. Jika tidak sakit, kita tak akan pergi buat pemeriksaan, apatah lagi saringan kesihatan. Jika ada pun buat pemeriksaan hanyalah sebab keperluan seperti insurans kesihatan/hayat atau keperluan majikan untuk bekerja.

Jadi, muncullah kelompok yang tidak sedar atau mengambil remeh apabila paras gula dalam darah sudah ‘border’. Tetapi gaya hidup tidak berubah kerana belum sakit. Kumpulan ini jumlahnya cukup besar di Malaysia.

Maka kita sering dengar laporan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar obesiti yang tinggi atau kadar pengidap diabetik yang tinggi. Itu belum lagi dikira dengan penyakit-penyakit lain.

Oleh itu, jauh sebelum pandemik ini muncul dan masuk ke Malaysia, latarnya sudah ada dalam masyarakat kita.

Covid ini akan berkongsi hidup dengan kita untuk tempoh yang lama. Sama ada kita berubah, atau membiarkan nasib dengan menyalahkan pelbagai pihak untuk terus hidup.

Dengan kesegeraan pemberian vaksin termasuk cadangan keperluan untuk menambah vaksin sebagai booster, kita yakin ada cahaya untuk kita semua keluar dari kepungan pandemik ini. Tak kiralah dua bulan atau dua tahun.

Kita yang putuskan apa nasib kita.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.