Skip to main
Logo Malaysiakini

Masa untuk rakyat mendesak reformasi jangka panjang, kata TI-M

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kemungkinan wujudnya kerajaan perpaduan atau kerajaan sementara tidak lama lagi adalah peluang untuk pelaksanaan reformasi jangka panjang, kata Transparency International-Malaysia (TI-M).

Dalam kenyataan dikeluarkan badan antarabangsa itu, TI-M berkata perlunya digerakkan kempen untuk menuntut kerajaan melakukan reformasi yang lebih baik dan berjangka panjang agar kekuasaan di letakkan pada tangan rakyat.

Dalam keadaan biasa, kata TI-M, reformasi seperti itu dan ujian kesahihan perdana menteri harus dilaksanakan melalui parlimen.

Jika ia tidak dapat dilakukan katanya pilihan raya umum harus diadakan selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, kami memahami ini adalah situasi yang belum pernah berlaku dan kita semua berada di bawah pandemik yang diperburuk oleh pengurusan yang lemah, penyalahgunaan kuasa, dan politik.

"Pada masa ini, kerajaan berada dalam posisi untuk mendorong reformasi yang kita undi tiga tahun lalu, dan peruahan yang kita rayu pada tahun-tahun sebelumnya, dan dalam keadaan rakyat kehilangan pendapatan dan orang tersayang.

"Kita mesti fokus kepada demokrasi berparlimen, institusi yang lebih kuat, kebebasan badan kehakiman daripada eksekutif, ketelusan, pengehadan tempoh, dan pemisahan kuasa," kata TI-M.

Jumaat lalu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - yang menghadapi isu sokongan majoriti - menjanjikan sejumlah reformasi dalam negara, dan sebagai gantinya dia meminta sokongan pembangkang untuk menghadapi undian usul percaya di parlimen yang akan menentukan kelangsungan jawatannya.

Antara lain, Muhyiddin berjanji untuk melaksanakan Undi 18 - yang sudah pun diluluskan di parlimen - serta peruntukan tahunan yang sama kepada semua ahli parlimen.

Separuh daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pula dijanjikan akan dipengerusikan oleh ahli parlimen pembangkang.

Dua janji perundangan yang dibuat oleh Muhyiddin adalah undang-undang antilompat parti untuk mencegah ahli parlimen berpaling tadah dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Selain Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ong Kian Ming (Bangi), kesemua parti pembangkang dan anggota Dewan Rakyat yang tidak lagi menyokong Muhyiddin menolak pakej rangsangan tersebut.

Ada yang menuduh Muhyiddin sebagai cuba "merasuah" sementara yang lain berkata ini adalah tawaran yang sudah terlewat.