Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin Bersatu adakan pertemuan di Publika

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin-pemimpin tertinggi Bersatu kini mengadakan pertemuan di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di Publika, Kuala Lumpur, ketika pelbagai spekulasi mengenai kedudukan kerajaan terus menjadi perhatian.

Turut menjadi tanda tanya ialah status Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri. Antara khabar yang tular dalam kalangan orang ramai ialah, ahli parlimen Pagoh itu berada di hari-hari terakhirnya sebagai perdana menteri.

Antara yang dilihat tiba di lokasi itu ialah:

  • Mustapa Mohamed (Jeli),
  • Mohd Redzuan Md Yusof (Aloh Gajah),
  • Ahmad Faizal Azumu (Tambun),
  • Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat)
  • Edmund Santara Kumar Ramanaidu (Segamat),
  • Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota)
  • Zuraida Kamaruddin (Ampang),
  • Dr A Xavier Jayakumar (Kuala Langat)
  • Larry Sng (Ahli Parlimen Julau).

Terdahulu, Sin Chew Daily yang memetik sumber kabinet memberitahu Muhyiddin akan mengundurkan diri daripada jawatan perdana menteri esok.

Laporan itu juga menyebut sumber lain yang tidak didedahkan namanya mendakwa dia sudah diarahkan agar mengosongkan pejabat.

Sinar Harian dan Utusan Malaysia sama-sama menerbitkan laporan malam tadi yang mendakwa bahawa beberapa kakitangan menteri telah mula berkemas sejak tengah hari semalam.

Sementara itu salah seorang pemimpin kanan Bersatu hari ini mengesahkan kepada Malaysiakini, Muhyiddin akan menghadap Agong di Istana Negara selepas mempengerusikan mesyuarat khas kabinet, esok

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof berkata dalam pertemuan itu Muhyiddin akan mempersembahkan surat peletakan jawatannya dan terserah kepada Agong untuk menerima atau menolaknya.