Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengerusi Umno seluruh negara mahu MP pertahan keputusan parti

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi Umno negeri seluruh negara hari ini menggesa ahli-ahli parlimen parti itu supaya patuh dan mempertahankan keputusan parti selaras dengan Perlembagaan Umno.

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani 13 pengerusi Umno seluruh negeri, mereka meminta ahli parti agar istiqamah dengan perjuangan.

Keputusan itu dicapai melalui perbincangan pengerusi-pengerusi Umno negeri pada hari ini.

"Menggesa seluruh kepimpinan dan pendukung parti di semua peringkat Umno cawangan dan Umno bahagian untuk terus bersatu, bersetia dan mendokong kepimpinan parti pada setiap masa.

"Menggesa semua ahli-ahli parlimen dan kepimpinan parti setiap masa untuk mematuhi dan mempertahankan sebarang keputusan parti selaras dengan garis panduan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hilang majoriti apabila 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.

Susulan itu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin dan jawatan seluruh jemaah menteri dengan serta-merta berkuatkuasa hari ini.

Seri Paduka juga berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baru dilantik.

Dalam pada itu, kenyataan pengerusi-pengerusi Umno negeri itu juga meminta semua ahli parti agar terus istiqamah dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan

"Meminta agar semua ahli-ahli parti terus istiqomah berpegang teguh kepada prinsip perjuangan, peraturan dan tatasusila sebagai ahli Umno," katanya lagi.