Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin parti dipanggil menghadap Agong esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Istana Negara memanggil parti politik utama untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong esok, susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan keruntuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setakat ini, empat parti politik - iaitu Umno, PAS, DAP dan Pejuang - sudah disahkan akan ke Istana Negara esok.

"Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dengarnya dijemput menghadap ke Istana Negara petang esok," kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan kepada Malaysiakini.

Sumber yang dekat dengan Zahid yang enggan dinamakan juga berkata ahli parlimen Bagan Datuk itu telah menerima undangan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengesahkan perkara itu menerusi Whatsapp, dan memaklumkan parti itu akan diwakili presidennya Abdul Hadi Awang.

Sumber dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga berkata parti itu telah menerima undangan dan presiden Mukhriz Mahathir dijangka akan menghadap Agong.

Sumber daripada DAP juga mengesahkan perkara sama.

Sumber DAP dan Pejuang berkata wakil parti dijadual menghadap pada pukul dua petang.

Malaysiakini difahamkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim akan turut menyertai pertemuan itu.

Sumber yang dekat dengan Rais ketika dihubungi megesahkan perkara itu.

"Pihak istana ada berhubung dengan Tan Sri (Rais) secara personal," katanya.

Agong hari ini menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin selepas ahli parlimen Pagoh itu sah hilang majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, Agong bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.

Setakat ini, tiada siapa dilihat yang mempunyai cukup sokongan untuk menjadi perdana menteri baru.