Skip to main
Logo Malaysiakini

4 didakwa di mahkamah kerana hina Ali Rustam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pagi ini kerana menghina Yang di-Pertua Negeri Melaka Ali Rustam berhubung ciapan Twitter Ali mengenai lawatannya ke Kesang Tua - lokasi yang menjadi tempat latihan pemenang pingat emas Olimpik Filipina Hidilyn Diaz.

Mohd Hermy Rahim, Muhd Ali Aswad Asngadu, Mohd Hafizuddin Rahmad, dan Ahmad Zaki Yamani Zainon didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, kerana secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik secara dalam talian.

Pertuduhan itu dibacakan oleh timbalan pendakwa raya N Sivashangary di hadapan hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Keempat-empatnya kemudiannya dibebaskan dengan jaminan RM5,000, selepas rayuan dibuat peguam untuk mengurangkan jumlah jaminan daripada jumlah asal RM15,000.

Tiga daripada mereka - Hermy, Aswad, and Hafizuddin - diwakili peguam daripada Purshotaman and Partners, yang dilantik oleh Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) secara pro bono; manakala Zaki melantik peguam sendiri.

Bercakap kepada Malaysiakini, jurucakap Gegar Muhd Azha Salahudin berkata pertubuhannya menawarkan perkhidmatan guaman percuma kepada orang awam dan mahu memastikan orang awam dididik tentang hak asasi mereka di bawah sistem perundangan.

“Ini merupakan misi utama kami untuk memastikan keadilan diberikan buat semua pihak,” kata Azha.

Keempat-empat tertuduh diarahkan untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan sehinggalah perbicaraan kes mereka yang seterusnya pada 22 September.

“Hakim juga mengarahkan pelanggan kami untuk tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan mana-mana saksi di mahkamah hari ini,” kata ketua peguam P Purshotaman menerusi wakil daripada Gegar.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM50,000, atau dipenjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Minggu lalu, beberapa individu disiasat kerana menghasut berhubung komen terhadap lawatan Ali ke rumah yang menjadi lokasi latihan Diaz semasa sekatan pergerakan tahun lepas.