Skip to main
Logo Malaysiakini

10 Lot kedai peniaga kecil di Tanah Merah musnah terbakar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sepuluh buah lot kedai peniaga kecil musnah dijilat api dalam insiden kebakaran di Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan sekitar jam 9.22 pagi daripada orang awam melalui talian kecemasan 999.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran tersebut melibatkan dua pasukan dari balai bomba Jeli dan balai bomba Tanah Merah.

"Pasukan dari balai bomba Jeli sampai ke lokasi terlebih dahulu dengan membawa jentera Fire Rescue Tender (FRI) sekitar jam 9.40 pagi dan terus menjalankan operasi menggunakan dua aliran satu pancutan sebelum dibantu oleh pasukan dari Tanah Merah dengan dua aliran empat pancutan.

"Pihak kami berjaya memastikan keadaan terkawal sekitar jam 9.50 pagi setelah bertungkus-lumus memadamkan api selama sepuluh minit," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Tambahnya, pihak bomba masih menjalankan proses 'overhaul' untuk menghapuskan sisa-sisa punca kebakaran untuk mengelakkan ia berulang.

"Seterusnya, kita serahkan kepada bahagian penyiasatan dan forensik untuk tugas-tugas seterusnya.

"Setakat ini, tiada mangsa yang terkorban cuma kita kasihan kepada pemilik kedai yang mengalami musibah ini ketika wabak Covid-19 ini.

"Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya lagi.