Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat dihasut untuk percaya pemimpin Umno rakus kuasa - Zahid

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata masih terdapat perasaan tidak puas hati sesetengah pihak terhadap Umno.

Kumpulan tersebut, katanya, menghasut rakyat agar mempercayai bahawa Umno yang bersalah, dan menganggap pemimpinnya sebagai "rakus kuasa."

Menurut Ahmad Zahid, sepatutnya isu sekarang dilihat dari sudut "kegagalan" kerajaan PN menangani pandemik Covid-19 yang kini mengorbankan lebih 13,000 orang.

Katanya pihak yang berang dengan kejatuhan PN sedang memainkan propaganda emosi bagi menggambarkan mereka sebagai mangsa kepada Umno dengan tujuan mengelirukan orang ramai.

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu, ada dua cara digunakan pihak terbabit selain menggambarkan presidennya rakus kuasa.

"Pertama, memperdaya fikiran rakyat konon patut berasa sedih kerana pemimpin mereka terpaksa meletak jawatan.

"Caranya dengan 'mewayangkan' pemimpin mereka hampir berjaya menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik dan kini tidak dapat meneruskannya kerana kehilangan kuasa dan kini negara dalam bahaya.

"Sedangkan negara sememangnya telah pun dalam bahaya apabila jumlah yang dijangkiti setiap hari kini melebihi jumlah yang sembuh," katanya dalam kenyataan di media sosial malam ini.

Kedua, kata Ahmad Zahid menghasut fikiran rakyat supaya menyalahkan pimpinan Umno dan presidennya konon rakus kuasa.

“Walhal hakikat sebenar, pemimpin mereka meletak jawatan selepas kegagalan membendung penularan Covid-19.

“Kegagalan itu yang menyebabkan majoriti parti politik dan ahli parlimen hilang kepercayaan, bukan kerana 1MDB, kes mahkamah atau ada pihak mahu merebut kuasa seperti yang dituduh berulang kali dalam perutusan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, dakwaan tersebut dibuat disebabkan PN terlampau geram dan marah apabila pemimpin mereka kehilangan jawatan dan kedudukan.

“Seperti saya katakan semalam kini masa untuk kita semua perlu memandang ke hadapan selepas pihak yang gagal telah pun diundurkan.

“Namun realitinya kita semua tahu penyokong dan pendukung pihak yang kehilangan kuasa masih tidak puas hati, maka mereka sedang memperhebatkan dakyah ke atas Umno terutama presiden,” katanya.

Tanpa menyebut nama, Ahmad Zahid berkata, sekiranya pemimpin sebelum ini berjaya mentadbir negara dan menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik, tiada alasan untuk mana-mana pihak mendesak PN dan pemimpinnya berundur.

"Nasihat saya kepada yang bermati-matian menghasut, menghina, mencerca, memfitnah saya, kepimpinan parti dan Umno, saya memaafkan semuanya dengan iringan doa semoga Allah mengampunkan segala dosa dan kekhilafan kita.

"Rahmat dan reda Allah jualah yang kita harapkan," katanya.