Skip to main
Logo Malaysiakini

Annuar dakwa lebih 69 MP lain setuju sokong calon dari BN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Annuar Musa mendakwa lebih 69 ahli parlimen bukan BN telah setuju untuk menyokong calon daripada gabungan itu untuk menjadi perdana menteri.

Berdasarkan kenyataan ahli parlimen Ketereh itu, ia bermakna BN sudah hampir mendapat sokongan majoriti di Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Dalam hantaran Facebook hari ini, Annuar berkata BN hanya ada 42 kerusi Parlimen, bermakna ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 69 ahli parlimen untuk mendapatkan majoriti mudah.

"Alhamdulillah baru sebentar tadi selesai perbincangan dengan ahli-ahli parlimen dan wakil parti-parti sahabat yang lain, untuk mohon menyokong seorang calon dari BN.

"Kami amat terharu kerana sejumlah yang lebih daripada 69 (ahli parlimen) yang diperlukan telah bersetuju untuk memberi laluan dan sokongan hitam putih kepada seorang calon dari BN," katanya yang juga bekas menteri wilayah persekutuan.

Annuar berkata lagi, dia telah menghubungi Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu dan ahli parlimen BN akan membincangkannya dengan presiden Umno itu malam ini.

Untuk rekod, ahli parlimen BN merangkumi 38 orang dari Umno, dua orang dari MCA dan masing-masing seorang dari MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kesemua 38 ahli parlimen Umno akan menyokong calon yang sama, atau sokongan mereka berpecah mengikut kem dalam parti itu.

Sementara itu, laporan Sinar Harian memetik sumber sebagai berkata, Presiden PKR Anwar Ibrahim telah mendapat cukup sokongan daripada PH dan juga parti-parti lain.

Ia termasuk beberapa ahli parlimen yang kini dalam Perikatan Nasional, menurut sumber yang dekat dengan Anwar itu seperti dipetik.

"Bagaimanapun, sokongan daripada parti atau ahli parlimen luar PH bukan berbentuk perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) sebagaimana didakwa segelintir pihak.

"Sebaliknya, sokongan itu bagi membentuk sebuah kerajaan baru yang mempunyai paras sokongan majoriti lebih daripada mencukupi," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan ahli parlimen untuk membuat akuan bertulis dengan menamakan calon pilihan sebagai perdana menteri.

Mereka diberi masa sehingga jam empat petang esok untuk mengemukakannya.