Johnson, Biden ikrar bekerjasama mengenai isu Afghanistan
GLOBAL l Perdana Menteri Britain Boris Johnson dan Presiden c (AS) Joe Biden pada Selasa berbincang mengenai keadaan semasa di Afghanistan berikutan pengambilalihan Taliban, memetik kenyataan Downing Street.
Menerusi perbualan telefon, kedua-dua pemimpin itu menyambut baik kerjasama kedua-dua negara sejak beberapa hari kebelakangan ini untuk membantu membawa pulang rakyat, kakitangan dan bekas pekerja dari Afghanistan.
"Kdua-dua pemimpin bertekad untuk terus bekerjasama erat untuk memastikan lebih ramai lagi dapat dibawa keluar dari negara itu," menurut kenyataan itu.
Johnson dan Biden juga sepakat mengenai perlunya masyarakat global bersatu untuk mencegah berlakunya krisis kemanusiaan di Afghanistan, lapor Xinhua.
Britain merancang untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke rantau itu dan penempatan semula pelarian.
Pejabat Dalam Negeri Britain pada Selasa menyatakan sehingga 20,000 pelarian Afghanistan akan ditawarkan tinggal di Britain selama lima tahun.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) secara maya dalam masa terdekat untuk membincangkan keadaan di Afghanistan.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Isnin, Biden tetap dengan keputusannya untuk menarik balik tentera AS dari Afghanistan dan tidak menyangka Kabul jatuh ke tangan Taliban lebih cepat daripada yang dijangkakan Washington.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai