Skip to main
Logo Malaysiakini

JKN Perlis: Tiada kes baru babitkan varian delta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis hari ini menjelaskan bahawa tiada kes jangkitan baharu COVID-19 membabitkan varian Delta dikesan di negeri ini, setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim berkata kesemua 43 kes baharu varian Delta yang disebutnya semasa sidang media di sini semalam tidak melibatkan kes COVID-19 di Perlis, sebaliknya ia merupakan 38 kes varian baharu di Selangor dan lima kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Perlis mencatatkan lapan kes varian yang merupakan empat kes varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2),” katanya dalam satu kenyataan di Kangar, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal laporan sebuah portal berita bertajuk ‘Perlis catat nilai Rt tertinggi, kesan 43 kes varian Delta’, semalam.

Justeru, penduduk Perlis dinasihatkan agar terus berwaspada dan tidak alpa serta kekal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan sentiasa meningkatkan kawalan kendiri bagi mengekang penularan COVID-19.

Setakat semalam, Perlis merekodkan sebanyak 37 kes baharu COVID-19 dengan jumlah kumalatif 1,099 kes dan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) tertinggi iaitu 1.25, diikuti Sarawak (nilai Rt 1.23) dan Kelantan (nilai Rt 1.19).

- Bernama