Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanipa persoal logik 'antikleptokrat' Muhyiddin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Sepang dari Amanah, Hanipa Maidin membidas bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang menurutnya tidak konsisten dalam menentang "kleptokrat".

Hanipa berkata, Muhyiddin sering membangkitkan kejadian ketika dia dipecat dari Umno kerana menentang "kleptokrat" dalam Umno.

Namun, kata Hanipa, Muhyiddin kemudian membentuk perikatan dengan mereka untuk melancarkan rampasan kuasa terhadap Pakatan Harapan pada tahun 2020.

Baru-baru ini, Hanipa mengatakan Muhyiddin menipu "kleptokrat" setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat tetapi tidak ragu-ragu bergabung dengan mereka semula untuk menyokong Naib Presiden Umno Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri berikutnya.

"Sekarang ini dia (Muhyiddin) dan para ahli parlimen parti dia boleh juga sokong calon perdana menteri yang tak ada masalah untuk terus dengan kerajaan kleptokrat .

"Boleh saya tahu, ini logik jenis apa?" kata Hanipa dalam satu kenyataan.

Hanipa mempersoalkan mesej yang cuba dihantar negara ini kepada dunia jika kerajaan yang sama yang bertanggungjawab untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara demokratik dilantik semula.

Kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran pada tahun 2020 selepas Muhyiddin menarik partinya, Bersatu keluar dari gabungan itu pada Februari tahun itu.

Bersama sekumpulan bekas ahli parlimen PKR yang diketuai oleh Azmin Ali, mereka membentuk kerajaan baru dengan pembangkang termasuk Umno.

Bagaimanapun, Muhyiddin meminggirkan ahli parlimen Umno yang terlibat dengan tuduhan rasuah daripada menduduki jawatan dalam kerajaan.

Pada 3 Ogos, 15 daripada 38 ahli parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap Muhiyddin, menyebabkan dia kehilangan majoriti.

Semasa ucapan terakhir sebagai perdana menteri, Muhyiddin menyatakan bahawa dia mungkin akan tetap berkuasa jika dia berkompromi dengan "kleptokrat" tetapi sebaliknya memilih untuk berpegang pada prinsipnya.

Sebanyak 14 daripada 15 ahli parlimen Umno kembali menyokong PN setelah dipersetujui bahawa Ismail Sabri akan mengambil alih jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Ini bermaksud komposisi sokongan Ismail akan serupa dengan Muhyiddin sebelum dia dijatuhkan.