Skip to main
Logo Malaysiakini

K’jaan Msia gagal tangguh bicara saman isu kerakyatan anak lahir di luar negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbicaraan penuh bagi tuntutan untuk kerakyatan automatik bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga akan diteruskan pada 24 Ogos.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pendengaran tuntutan itu, sementara menunggu rayuan berkaitan yang dibuat.

Pada 6 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan saman yang difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita, yang meminta hak kerakyatan automatik kepada anak wanita warga Malaysia dengan lelaki asing, yang lahir di luar negara.

Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan kerajaan itu melalui prosiding zoom dalam talian, pagi esok.

Peguam Gurdial Singh Nijar, mewakili enam wanita warga tempatan dan Family Frontiers, mengesahkan perkara tersebut.

Gurdial menjelaskan bahawa dengan penangguhan ditolak, Mahkamah Tinggi akan mendengar tuntutan saman itu pada 24 Ogos.

Ketika menolak permohonan kerajaan itu, hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan tindkan perundangan itu melibatkan isu penting dan tidak remeh seperti yang dinyatakan kerajaan.

Dia antara lain berkata, ia melibatkan isu diskriminasi dalam undang-undang kerakyatan negara terhadap wanita, dan kerajaan perlu memberikan justifikasi ketika pendengaran penuh dibuat.

Pada 18 Mei lalu, kerajaan telah mengemukakan rayuan bagi membatalkan saman tersebut.

Tuntutan itu difailkan pada 18 Disember lalu, yang mana tujuh plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan agar wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dapat secara automatik mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Ia selepas kerajaan menolak untuk memberi kebenaran itu.

Kerajaan merupakan defendan tunggal dalam saman tersebut.

[Baca berita asal]