Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Dari Sanusi untuk Sanusi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ke hadapan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang dihormati.

Saya terpanggil untuk menulis kepada YB berikutan peristiwa banjir kilat yang terjadi di kawasan kaki Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu. Ia adalah hari yang malang.

Walaupun menetap di Pulau Pinang, tetapi sebagai anak jadi Singkir Laut di Yan, Kedah, saya dapat menyelami kesukaran saudara-mara dan kawan-kawan yang ditimpa bencana berat itu.

Selain Yan yang paling teruk terjejas, Gurun, Tupah dan Merbok juga terkena tempias amarah alam kepada kita.

Bencana yang bermula dengan hujan lebat kemudian mengakibatkan terhasilnya kepala air lalu mengalir deras dari hilir ke hulu. Kekuatan air di sungai-sungai sekitar Yan diibaratkan oleh penduduk tempatan sebagai tsunami kecil.

Ketika melihat rakaman video, saya turut terasa ngeri akan kekuatan alam semula jadi yang mampu merobohkan apa sahaja yang berada di laluannya. Ia termasuklah rumah, bangunan, pokok-pokok, binatang liar, binatang ternakan dan juga manusia. Tsunami kecil itu telah mengorbankan nyawa!

Itu kejadian kepala air di sebelah Yan.

Di sebelah Tupah dan Singkir pula turut terjadi perkara yang sama. Kepala air menghantar batang-batang balak hingga ke jalan raya. Banjir lumpur juga masuk ke rumah orang. Harta benda banyak yang musnah.

Mujur tiada yang nyawa manusia yang hilang.

Kejadian di Singkir dan Tupah perlukan siasatan segera kerana nampaknya ada unsur bukan semula jadi. Ada kuari-kuari batu dan mineral yang telah lama beroperasi di sana.

Tak boleh lepas tangan

Bukit dan hutan dicerahkan untuk dijalankan operasi kuari. Pokok-pokok jati yang menjadi penguat bukit sudah direbahkan untuk. Bom-bom pemecah batu sering kedengaran oleh penduduk tempatan.

Di akhbar, penduduk setempat juga mengakui kuari di Tupah masih beroperasi seperti biasa selepas kejadian kepala air! Bukankah segala operasi kuari wajib dihentikan hingga siasatan lanjut tentang tanah dan sebagainya dilakukan oleh pihak berwajib?

Mengapa tiada arahan henti operasi dibuat ke atas kuari yang berkemungkinan besar menjadi punca terkambusnya (cetek) sungai hingga tidak mampu menampung air yang banyak sewaktu hujan lebat?

Akhbar Harian Metro pada 19 Ogos juga memetik penduduk setempat berkata: “Untuk mengambil batu di kuari, mereka terpaksa tebang pokok balak di kaki Gunung Jerai, akibatnya kawasan kuari menjadi lapang dan aliran sungai menjadi laju serta berbahaya ketika hujan lebat atau kepala air melanda.”

Tidak dihiraukan sejak zaman pemerintah parti mana pun kuari itu mula diberi lesen, tapi operasinya harus dihentikan. Walau lesen dikeluarkan di zaman Sanusi Junid sekalipun, ia tidak bererti kerajaan semasa boleh berlepas tangan.

Siasatan terperinci tentang cerun dan tanah patut disegerakan kerana kita tidak mahu kejadian sama - atau lebih teruk - berlaku pada masa hadapan.

Andai selepas siasatan mendapati kuari berkenaan selamat dan tidak memberi impak kemusnahan alam, dan bukan penyebab cerun dan tanah Bukit Tupah menjadi longgar, bolehlah diteruskan operasinya.

Sebagai menghormati akal budi dan pemikiran logik, suka saya bertanya: adakah kuari yang begitu hampir dengan hutan simpan kekal itu tidak pernah terlajak 'mencerahkan' kawasan Hutan Simpan Bukit Tupah?

Saya akhiri tulisan saya kepada YB dengan harapan agar YB menggunakan kuasa yang ada sebagai pimpinan tertinggi negeri menyiasat ke akar umbi punca banjir lumpur dan longgarnya cerun serta tanah di Gunung Jerai.

Ia adalah punca pokok-pokok jati menaiki jalan raya.

Semoga hasil siasatan itu nanti akan dapat menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat di negeri kita yang tercinta.


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri ialah penulis kreatif separuh masa yang mencintai alam sekitar sepenuh masa dan berminat mengambil tahu hal-hal politik semasa.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.