CITF arah 29 PPV di Selangor ditutup
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengarahkan 29 pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditutup
Penutupan ini akan dilakukan pada Ogos hingga September di sembilan daerah di negeri itu.
Keputusan itu dibuat selepas 73.8 peratus individu dewasa di Lembah Klang telah menerima vaksin sepenuhnya pada 18 Ogos.
CITF telah menghantar surat kepada kerajaan negeri Selangor dengan memaklumkan senarai PPV yang akan ditutup.
Malaysiakini telah melihat surat berkenaan dan CITF mengesahkan kandungannya sebagai asli.
Menurut senarai itu, sesetengah PPV telah ditutup sebelum surat itu dikeluarkan.
Daripada 29 PPV, sebanyak 17 PPV akan ditutup pada Isnin ini (23 Ogos).
Optimumkan sumber
Dalam respons kepada Malaysiakini, CITF berkata kebanyakan individu dewasa di Lembah Klang telah menerima vaksin dan penutupan itu kebanyakannya melibatkan PPV yang berskala "kecil".
"CITF mengesahkan bahawa surat itu asli tapi juga ingin mengetegahkan fakta bahawa kami telah memberi vaksin kepada kebanyakan individu di Lembah Klang.
"Juga, kebanyakan PPV yang ditutup memiliki kapasiti kecil dan telah memenuhi tujuannya ," katanya.
Surat itu juga memberikan penjelasan mengenai langkah penutupan tersebut.
"Persetujuan penutupan PPV adalah untuk mengoptimumkan penggunaan sumber selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi di Selangor yang telah melebihi 90 peratus dan dijangka akan selesai dalam tempoh terdekat ," kata CITF kepada kerajaan negeri.
Tidak jelas apakah angka lebih 90 peratus yang dirujuk, namun 103.6 peratus individu dewasa di Lembah Klang telah menerima dos vaksin pertama mereka.
Angka ini termasuk individu tidak memiliki dokumen dan bukan penduduk.
Dalam respons sebelum ini kepada Malaysiakini, pasukan petugas khas itu berkata penutupan PPV adalah berdasarkan data kadar vaksinasi.
"CITF juga sedang memastikan tiada penduduk Malaysia yang ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).
"Untuk ini, CITF melihat kepada kepentingan mengoptimumkan penggunaan sumber serta penjimatan kos yang diimbangkan dengan keperluan untuk memastikan tiada kesukaran bagi mereka yang belum divaksinasi untuk berbuat demikian," kata badan itu lagi.
Lembah Klang menduduki tempat ketiga tertinggi dari segi kadar vaksinasi.
Namun sebilangan negeri ketinggalan jauh.
Sabah, misalnya, mencatatkan kadar vaksinasi paling lambat dengan hanya 25.8 peratus individu dewasa yang telah divaksinasi sepenuhnya setakat 18 Ogos.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata lebih ramai pengamal perubatan am akan membantu memberikan suntikan vaksin covid-19.
Surat CITF terbaru itu tidak menyatakan di mana penerima akan menerima vaksin selepas PPV berkenaan ditutup.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai