Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Berguru dengan petua, bersikap pada alam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hari ini cuaca cerah dan cantik selepas hujan lebat semalam. Kawasan perkelahan di hutan lipur itu ramai dikunjungi orang. Air sungai yang segar lagi jernih menggamit ramai untuk bermandi-manda.

Air sungai yang merapat dengan pergunungan sifatnya amat mengujakan.

Tidak semena-mena satu letusan berlaku di bahagian hulu. Fenomena kepala air meluncur dengan deras. Bersamanya diheret segala bongkah kayu-kayan, batu-batan serta sampah-sarap dari hutan.

Airnya pekat bercampur selut lumpur. Dengan sekelip mata sungai yang tadi nyaman bertukar menjadi medan malapetaka. Ada nyawa diragut, ada harta benda rosak punah.

Ekoran kejadian itu segera pihak berkuasa memaklumkan ia adalah bencana alam semula jadi yang tidak dapat dielakkan. Ia adalah takdir yang tersurat kerana tidak ada aktiviti pembalakan dalam kawasan yang dilindungi itu.

Ini bukan kejadian sebenar. Ia sekadar khayalan ngeri saya kerana terkesan dengan peristiwa yang berlaku di Yan, Kedah baru-baru ini.

Mari saya kongsikan sedikit pengalaman sejak berkawan dengan hutan rimba. Peringatan: ini bukanlah pandangan ilmiah kerana saya bukan profesional dalam bidang alam sekitar.

Bom jangka tanpa sedar

Lazimnya ramai oran akan terjerat dengan kata kunci "pembalakan" sebagai punca bencana alam. Sebenarnya bukan mesti begitu. Selain aktiviti pembalakan ada faktor lain yang boleh menyumbang berlakunya bencana.

Faktor geologi sesuatu kawasan, misalnya. Mungkin struktur tanah dan bebatuannya berongga dan tidak stabil. Tanah yang berbatu kapur mudah larut dengan hakisan air.

Barangkali juga muka bumi di situ ada kawasan tanah runtuh pendam lama (old dormant landslide). Apabila terkena tujahan air atau hujan lebat kawasan berkenaan mudah terhakis dan runtuh.

Tidak boleh diremehkan juga ialah aktiviti pembukaan tanah, penerokaan, penebangan dan pencerahan hutan di lingkaran zon berhampiran sungai. Aktiviti membuka ladang, membuat projek pembangunan dalam zon berkenaan - jika tidak dilaksanakan dengan cermat - akan menyemai 'bom jangka' secara luar sedar.

Ramai orang mengambil mudah akan sisa sampah hutan semasa pembersihan. Ia sekadar dilonggok ke pinggir tebing sungai. Dari semasa ke semasa, segala sampah sarap itu akan beralih memasuki sungai perlahan-lahan.

Ia kemudian membentuk sekatan-sekatan aliran air untuk mewujudkan keadaan seperti empangan. Takungan air pada kepungan yang terbina itu lama-kelamaan meninggi dan berat.

Boleh kalau berhemah

Pada hari malang yang tidak diketahui bila, tiba hujan lebat, arus tertahan menjadi semakin kuat dan benteng semula jadi daripada sampah sarap itu akan pecah.

Maka terhasillah kepala air yang besar dan keras.

Negara kita kebelakangan sudah agak acap dilanda musibah bawaan arus air. Tentu saja kita tidak mudah lupa pada kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Karak berhampiran Hutan Simpan Lintang sebelum ini.

Begitu juga dengan bah lumpur di Cameron Highlands dan beberapa tempat lain sebelumnya.

Sangat tidak wajar apabila ada pihak terus mengasbabkan sesuatu bencana kepada alam semula jadi dan takdir dari Tuhan, sedangkan sudah termaktub dalam kitab, berlakunya kerosakan di muka bumi ini adalah hasil tangan manusia sendiri.

Apakah kita tidak boleh langsung menyentuh sumber alam untuk dimanfaatkan? Sudah tentu bukan begitu jawapannya. Asalkan kita cermat dan berhemah, maka bolehlah.

Sebenarnya leluhur kita sudah berpesan bagaimana kita harus bersikap kepada alam:

Berumah jangan sampai merosak tanah,

Berladang jangan sampai merosak padang,

Berkampung jangan sampai merosak gunung.

Janganlah kita amalkan sikap "ada fulus semua lulus; asal menteri semua jadi."


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang minat melukis, memerhati dan menulis.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.