Skip to main
Logo Malaysiakini

Walau dengan k'jaan baru, Dr M tetap gesa darurat diisytihar sekali lagi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tetap berpandangan darurat perlu diisytiharkan walaupun sebuah kerajaan baru dijangka akan mengangkat sumpah tidak lama lagi.

Mahathir berkata, tiada masa untuk menunggu kerajaan baru disusun sebelum melakukan tindakan kerana wabak Covid-19 boleh menjadi lebih buruk.

"Percayalah wabak ini tidak mudah dikawal. Ia tidak akan pergi dengan sendirinya.

"Di waktu ini keadaan sudah jadi amat serius. Ia boleh jadi lebih serius dalam masa yang terdekat. Kita perlu bertindak sekarang ini juga.

"Janganlah utama politik dan undang-undang pun. Sebenarnya inilah masa isytihar darurat kerana tindakan luar biasa perlu diambil. Kita tidak boleh tunggu kerajaan disusun sebelum bertindak," katanya dalam kenyataan semalam.

Mahathir sebelum ini pernah mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan untuk mentadbir negara ketika penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, ia memerlukan amalan demokrasi biasa digantung dan hanya boleh dibuat dengan nasihat perdana menteri.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baru hari ini, selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatanya.

Mageran diwujudkan usulan tragedi 13 Mei 1969 dan mentadbir negara sehingga 1971.

Mahathir juga membangkitkan laporan majalah the Economist yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan paling rendah dalam indeks yang mengukur sejauh mana negara-negara berdepan dengan wabak.

Semalam, terdapat 23,564 jangkitan baru Covid-19 yang dilaporkan - pecah rekod sekali lagi sebagai angka kes baru tertinggi.

Kata Mahathir lagi, wabak itu memberi tekanan cukup hebat kepada rakyat, antaranya kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan juga kalangan yang sehingga mengambil tindakan bunuh diri.

Menurutnya, sejumlah pakar telah menawarkan khidmat mereka secara sukarelah tetapi pentadbiran Muhyiddin sebelum ini menolaknya.

"Mereka ini terdiri dari pakar perubatan, ekonomi, sosiologi dan lain-lain. Mereka mempunyai pengalaman menangani krisis. Mereka boleh bantu dalam usaha melawan wabak seperti ini," katanya lagi.

Dia mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong melantika mereka dalam satu jawatankuasa untuk menangani Covid-19.

"Jika badan yang mereka cadang diletak di bawah Kerajaan, politik akan mengganggu tindakan mereka," katanya lagi.