Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganjur #Lawan: Himpunan sudah dibatal, tindakan polis 'melampau'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penganjur himpunan #Lawan kedua yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur hari ini mengkritik tindakan polis sebagai "berlebihan dan melampau".

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), yang kebanyakannya dianggotai aktivis mahasiswa, membangkitkan tindakan tersebut walaupun polis telah dimaklumkan secara rasmi bahawa himpunan tersebut dibatalkan.

Dalam kenyataan malam tadi, SSR memaklumkan pihaknya dijemput oleh polis untuk berbincang mengenai himpunan tersebut.

"Dalam perbincangan itu, kami telah menyerahkan notis pembatalan protes yang dijadual berlangsung 21 Ogos (hari ini) kepada Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya," kata SSR.

Namun, kata SSR lagi, polis tetap memohon perintah mahkamah untuk melarang 34 aktivis sekretariat itu daripada masuk ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur hari ini.

Kata SSR lagi, polis juga ke rumah aktivis tanpa notis dan dengan jumlah anggota yang ramai untuk menyerahkan perintah mahkamah.

"Kami beranggapan bahawa tindakan ini adalah berlebihan dan melampau kerana ianya dijalankan tidak mengikut lunas yang betul.

"Tindakan ini adalah untuk menggertak para aktivis daripada menjalankan tanggungjawab dan hak demokratik mereka. Walaupun kami telah memberikan notis kepada pihak polis bahawa kami telah pun membatalkan perhimpunan tersebut.

"Kami ingin tegaskan juga bahawa aksi protes yang kami akan buat akan diuar-uarkan secara rasmi dan dibuat secara tertib berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kami tidak buat sesuatu perkara secara semberono dan acuh tidak acuh," kata SSR lagi.

Protes tersebut bagi mendesak Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Namun ia dibatalkan setelah pengunduran Muhyiddin pada 16 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Bera dari Umno, Ismail Sabri Yaakob dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baru hari ini.

Walaupun himpunan itu telah dibatalkan, polis dilaporkan menutup dan mengalihkan lalu lintas di 88 jalan di Kuala Lumpur mulai jam sembilan pagi ini.

RapidKL juga mengumumkan penutupan sementara 34 stesen kereta api di Kuala Lumpur untuk "melindungi keselamatan awam".

Himpunan pertama #Lawan diadakan pada 31 Julai lalu di mana beberapa ratus peserta mengadakan perarakan di tengah-tengah ibu kota.