Skip to main
Logo Malaysiakini

Walau bukan bawah PKPD, Orang Asli dakwa dihalang keluar kampung

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penduduk di Kampung Gedung dan Kampung Chang Lama, Sungai Gepai, Perak mendakwa mereka dihalang daripada meninggalkan kampung mereka untuk membeli makanan di pekan Bidor yang berdekatan.

Ini kerana mereka berkongsi satu-satunya jalan untuk ke pekan tersebut dengan kampung-kampung Orang Asli lain yang pada masa ini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 24 Ogos.

Penduduk mendakwa sementara Kampung Senta, Kampung Chang Baru, dan Kampung Sanding layak menerima bantuan makanan semasa tempoh PKPD, Kampung Gedung dan Kampung Chang Lama pula tidak mendapatnya.

“Kami bukan merayu hendakkan makanan tetapi jika (pihak berkuasa) tidak membenarkan kami keluar untuk membeli makanan tetapi tidak pula menyediakan bantuan makanan kepada kami, bagaimana kami nak hidup?” soal penduduk Kampung Chang Lama, Rizuan Tempek.

Katanya, keluarganya sudah kehabisan makanan kering seperti gula, beras dan minyak masak.

Dia turut mendakwa ketua Kampung Chang Lama sudah membuat aduan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara itu.

“Kedua-dua pihak memaklumkan kepadanya (ketua kampung) yang Kampung Gedung dan Kampung Chang Lama bukan kawasan PKPD dan (sepatutnya) dibenarkan keluar membeli barang-barang.

“Mereka beritahu dia, penduduk hanya perlu maklumkan kepada pegawai polis di sekatan jalan. Tetapi, pegawai bertugas masih halang (penduduk) daripada keluar membeli barangan keperluan,” katanya lagi.

Kata Rizuan lagi, ketua kampung turut meminta Jakoa dan KKM untuk mengesahkan bahawa kampung mereka tidak termasuk dalam kawasan dikuatkuasakan PKPD, tetapi Jakoa dan KKM memaklumkan mereka tiada kuasa untuk mengeluarkan surat sedemikian.

Pada 17 Ogos, pengarah Jakoa Perak dan Kedah Harulnizam Abdul Rahman berkata makanan akan dihantar ke kampung-kampung di Bidor, termasuk yang tidak dikenakan PKPD, susulan laporan The Star yang mendakwa penduduk Kampung Chang Baru meminta Jakoa menyediakan lebih banyak bekalan.

Harulnizam turut menafikan penduduk Orang Asli dilarang daripada meninggalkan kampung mereka untuk membeli barangan keperluan, dengan menegaskan mereka yang tidak memakai gelang tangan dibenarkan berbuat demikian.

Bagaimanapun, Rizuan menegaskan bahawa kekurangan makanan tidak akan menjadi masalah jika penduduk dibenarkan untuk keluar untuk mendapatkannya.

“Kalau nak kenakan PKPD kepada kawasan bukan PKPD, mereka patut tukar dasar berkenaan bantuan makanan yang diedarkan ke kawasan ini juga,” katanya.

Dia turut mendakwa polis menghalang penduduk daripada memenuhi janji temu vaksinasi pada 13 Ogos, menyebabkan mereka yang mempunyai janji temu pada keesokannya juga tidak pergi kerana takut akan turut dihalang polis.

“Ini bertentangan dengan keputusan yang penduduk di dalam kawasan PKPD dibenarkan untuk pergi mendapatkan vaksinasi mereka.

“KKM sudah benarkan kami tinggalkan kawasan untuk vaksinasi, tetapi bila berdepan dengan polis, kami diberitahu sebaliknya pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid menafikan sekatan ke atas penduduk daripada meninggalkan kawasan mereka.

Kata Mior, pergerakan keluar masuk di kawasan itu dibenarkan kepada penduduk yang tidak memakai gelang tangan, yang tidak bergelaja dan yang keluar bukan dalam kumpulan besar.

Tambahnya lagi, tarikh vaksinasi baru telah pun diberikan oleh pejabat kesihatan daerah kepada penduduk Orang Asli yang terjejas.

Lapan kematian di mukim Bidor

Pada 12 Ogos, Mior memberitahu pemberita bahawa 784 penduduk Orang Asli di mukim Bidor disahkan positif Covid-19 dan lapan orang telah meninggal dunia akibat virus itu.

Hari berikutnya, Jabatan Kesihatan Perak dalam kenyataan merujuk angka 784 kes positif dan lapan kematian itu sebagai meliputi keseluruhan daerah Batang Padang.

Rizuan mendakwa ekoran daripada kenyataan Mior, sesetengah kedai di pekan Bidor mula enggan menerima pelanggan di kalangan Orang Asli sedangkan, katanya lagi, setakat pengetahuannya Bidor hanya mencatatkan satu kematian akibat virus itu, iaitu di Kampung Senta.

“Bagaimanapun ekoran pengumuan itu (tentang kematian), sesetengah pemilik kedai menganggap semua orang daripada komuniti Orang Asli ini positif Covid-19,” katanya.

Dia berkata penduduk Kampung Chang Lama terperangkap dalam ketidakpastian ekoran maklumat salah yang menyatakan mereka turut tergolong dalam kawasan PKPD.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan kenyataan pada 9 Ogos bahawa Kampung Chang termasuk dalam kawasan PKPD, tanpa menjelaskan sama ada ia merangkumi Kampung Chang Baru atau pun Kampung Chang lama di Sungai Gepai.

Penduduk Kampung Chang Lama hanya sedar yang kampung mereka tidak termasuk dalam kawasan PKPD selepas meminta penjelasan daripada Jakoa, kata Rizuan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Jakoa negeri bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

[Baca berita asal]