Skip to main
Logo Malaysiakini

Kawasan lain pula hadapi peningkatan kes, hospital Lembah Klang agih semula peralatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sesetengah hospital di Lembah Klang mengagihkan semula sumber yang dimiliki kepada negeri-negeri lain, ketika jangkitan Covid-19 meningkat di kawasan lain pula.

Antara hospital yang terlibat adalah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, yang sebelum ini pernah berdepan kesesakan sehingga terpaksa menempatkan sebahagian pesakit Covid-19 di luar hospital.

Ia membuatkan hospital berkenaan sebelum ini terpaksa meminjam peralatan perubatan termasuk alat pemekat oksigen.

Dengan usaha bersama untuk mempercepat pemberian vaksin di Lembah Klang, terdapat tanda-tanda jumlah jangkitan baru harian kian stabil setelah mencapai tahap tertinggi pada minggu-minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ada negeri lain berdepan keadaan sama seperti di Lembah Klang, dengan kes meningkat secara mendadak.

Sembilan negeri dan wilayah persekutuan mencatatkan jangkitan baru melebihi 1,000 kes - apa yang sebelum ini hanya berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebagai respons kepada perubahan itu, HTAR mengembalikan 80 alat pemekat oksigen yang dipinjamnya untuk diedarkan ke negeri lain.

Dalam hantaran di Facebook, HTAR mengucapkan terima kasih kepada Pusat Rawatan Kuarantin dan Risiko Rendah Covid-19 di Maeps, Serdang kerana meminjamkan peralatan tersebut.

"Pihak HTAR memutuskan untuk memulangkan semula peralatan tersebut memandangkan jumlah pesakit Covid-19 di hospital ini semakin menurun.

"Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menyusun semula keperluan peralatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

"Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih," menurut hantaran itu.

Semalam, Sabah dan Sarawak melaporkan jangkitan tertinggi, masing-masing dengan lebih 2,500 kes baru.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, kawasan lain dengan kes baru lebih 1,000 semalam termasuk Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Perak.

Sekiranya negeri-negeri ini mengalami situasi yang sama seperti di Lembah Klang, kesannya akan menjadi lebih teruk kerana infrastruktur kesihatan di beberapa negeri tidak seperti di Lembah Klang.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), lebih daripada separuh populasi Lembah Klang telah divaksinasi sepenuhnya sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan wabak.

Selain Lembah Klang (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya), Labuan, Sarawak dan Negeri Sembilan, kadar vaksinasi di negeri-negeri lain di bawah 50 peratus populasi dewasa.