Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Hakikatnya gerakan rakyat juga gagal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Hari ini kita ada perdana menteri baru. Apa yang telah berlaku dalam beberapa minggu ini? Apakah kemelut dan krisis politik yang diheboh-hebohkan? Apakah perubahan yang telah berlaku?

Sebenarnya selain daripada angka kes dan kematian Covid-19 yang memuncak, tidak ada apa-apa yang sebenarnya berlaku.

Pada 3 Ogos 2021, Majlis Tertinggi (MT) Umno telah menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dengan serta-merta. Ini telah menyebabkan kejatuhan kerajaan Muhyiddin secara sah pada 16 Ogos 202, apabila dia dan kabinetnya telah meletak jawatan.

Kemudiannya, setelah pelbagai drama, sandiwara dan spekulasi, pada hari keesokannya, iaitu 17 Ogos 2021, orang Umno yang sama yang tidak sokong Muhyiddin telah memberikan sokongan penuh kepada ahli parti mereka sendiri yang bernama Ismail Sabri dan kini pada 21 Ogos 2021, dia dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.

PH dan Anwar Ibrahim gagal mendapat majoriti untuk mengambil alih kuasa daripada puak yang dipanggil oleh mereka sebagai 'kerajaan pintu belakang'. Sokongan mereka tidak bertambah, malah Pejuang dan Warisan masih bermain tarik tali dengan PH untuk mendapatkan sokongan mereka.

Tulisan ini adalah kritikan kepada diri sendiri, kritikan kepada gerakan rakyat dan kepada kawan-kawan saya yang sentiasa tidak jemu menuntut keadilan dan menuntut satu sistem baru.

Walaupun kita boleh mengambil pendekatan kutuk Ismail Sabri dengan jenaka PKP-nya, kutuk Anwar kerana sekali lagi dia gagal menjadi perdana menteri dan terus kekal sebagai 'PM-sedang-menunggu (PM-in-waiting)' yang paling lama, atau DAP atau Mat Sabu yang berkata hatinya terguris, tetapi hakikatnya adalah kita juga gagal.

Gerakan rakyat gagal mengatasi politik elit, politik kelas atasan dan politik kelas kayangan. Proses demokrasi kita telah menyebabkan kuasa rakyat terus dilelong kerana rakyat tidak ada kuasa untuk menentukan dua orang perdana menteri yang terdahulu, iaitu perdana menteri ke-8 dan ke-9.

Kuasa raja telah diperkukuhkan untuk menentukan perdana menteri.

Golongan yang paling tidak berkuasa adalah golongan rakyat yang hanya boleh menonton sandiwara dari tepi, bermain dengan telefon pintar masing-masing dan merungut tentang keadaaan yang sedia wujud. Ya, kita gagal.

Politik bandar dan rakyat massa

Kalau kita melihat gerakan rakyat di Malaysia, ia begitu berpusat di kawasan bandar. Gerakan Bersih sebenarnya adalah satu gerakan bandar. Begitu juga apabila anak muda hari ini yang sertai protes #Lawan – ia juga adalah satu gerakan bandar di mana jangkauan mereka adalah terhad dan berkisar pada politik bandar dan elit.

Untuk kumpulan ini, mereka semakin yakin bahawa rakyat bersama mereka dan menuntut perubahan. Persepsi dalam media sosial memperkukuh pandangan mereka, tetapi bagaimana pula semasa pilihan raya, di mana kuasa parti-parti seperti Umno dan PAS lebih menonjol dan dominasi mereka jauh lebih tinggi?

Untuk memahami hal ini, kita perlu memahami persempadanan kerusi Parlimen di Malaysia yang berlandaskan kaum.

125 daripada 222 kerusi Parlimen adalah di kawasan luar bandar, di mana kerusi majoriti Melayu meliputi 78 kawasan, Bumiputera Sabah (16), Bumiputera Sarawak (18) dan Cina (2). Siapakah yang mendominasi politik di kawasan-kawasan ini?

Hari ini apabila adanya parti baru, atau kumpulan NGO masyarakat sivil seperti MAJU, fokus mereka tetap di kawasan-kawasan bandar. Pengaruh parti anak muda seperti Muda juga turut cenderung kepada kawasan bandar.

Maka semasa PRU, kawasan-kawasan ini menjadi rebutan kerana lebih senang untuk menang kerusi, tetapi ia tidak akan menambahkan kerusi untuk parti-parti pembangkang.

Contohnya, tiada satu pun parti dalam PH yang mempunyai jaringan akar umbi yang dapat menyaingi PAS dan Umno, maka mereka tidak dapat menyangkal secara efektif propaganda bahawa PH adalah “anti-Melayu”.

Selagi kita tidak menyusun gerakan dalam masyarakat luar bandar, merangkumi golongan petani, nelayan, peneroka Felda dan lain-lain, selagi itulah politik kita tidak akan mendapat sambutan menyeluruh. Kritikan ini juga ditujukan juga kepada parti saya, PSM serta gerakan kiri.

Selain itu, kita juga gagal mendampingi dan meraih sokongan jutaan kaum pekerja yang tersepit dan terpinggir. Hari ini, hanya enam peratus pekerja yang menyertai kesatuan sekerja. Begitu banyak pekerja ekonomi gig seperti rider dan lain-lain menghadapi pelbagai masalah dan perlu diorganisasi dan diatur untuk perjuangan di tempat kerja.

Dari masa ke masa kita melihat protes mereka – seperti penghantar makanan Food Panda dan pekerja dalam talian - tetapi ia tidak disusun menjadi gerakan yang lebih kuat dan berpengaruh. Ia bersifat sementara sahaja.

Sedihnya juga gerakan anak muda kita lebih cenderung mengambil wajah eksklusif. Mempunyai slogan dan teknologi penyebaran maklumat yang canggih, tetapi gagal menyusun gerakan rakyat bawahan yang kuat yang dapat melawan sistem politik elit.

Ramai anak muda yang kecewa dengan sistem politik negara tetapi mereka menjadi kuda tunggangan untuk parti politik kaya. Ramai dalam kalangan mereka yang berbakat akhirnya terjerumus apabila diberi kerjaya, kedudukan dan jawatan oleh parti besar.

Mereka bakal membentuk elit baru dalam politik. Mereka gagal mencabar sistem yang dikritik mereka dan mula berjinak dan bermesra dengan keadaan ini. Ada pula yang beromantis dengan revolusi, dengan slogan-slogan hebat tanpa gerak kerja membina kondisi yang perlu untuk mengambil alih kuasa.

Namun, ramai anak muda hari ini mengalami tekanan ekonomi yang hebat, isu pengangguran dan ramai terjerumus dalam sektor tidak rasmi yang tiada jaminan kerja. Gerakan Undi18 dan #Lawan dapat sedikit mengisi ruang kekosongan ini. Namun, pengaruh mereka lebih cenderung kepada aksi tanpa membina gerakan yang jauh lebih kuat di kilang-kilang, sektor tidak rasmi dan sektor perkhidmatan yang lain.

Selagi aksi-aksi kecil tidak dapat membina kekuatan untuk satu gerakan yang lebih besar, selagi itulah politik negara akan terus dikuasai oleh parti-parti elit. Sudah tiba masanya kita meneliti kegagalan dalaman kita daripada kegagalan parti pemerintah aliran utama.

Membina naratif baru perjuangan rakyat

Aspirasi kita memang adalah aspirasi lama di mana rakyat menjadi tuan, golongan hamba melawan tuan hamba, golongan petani melawan golongan feudal, golongan pekerja melawan golongan kapitalis. Rakyat 99 peratus melawan golongan terkaya 1 peratus.

Ketuanan rakyat menggantikan ketuanan parti perkauaman. Perjuangan kelas kembali menjadi perjuangan utama seperti sebelum tahun 1970-an.

Jika kita melihat gerakan Putera-AMCJA pada 1945-48, ia adalah perjuangan kelas yang menitikberatkan nasib pekerja dan petani melalui organisasi pekerja seperti PMFTU dan gerakan petani seperti Batas. Jika kita melihat gerakan mahasiswa 1974, mereka adalah gerakan membela kelas yang tertindas di mana mereka turun ke Tasek Utara di Johor dan Baling di Kedah bersama rakyat marhaen.

Pada masa itu, mahasiswa bersama rakyat dan golongan biasa. Mereka membawa isu rakyat bawahan dan bukan isu perkauman atau agama.

Namun, selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kehancuran Front Sosialis dan parti-parti politik kiri, maka politik kelas pekerja dan bawahan digantikan oleh politik kaum dan agama. Isu-isu perkauman menjadi naratif utama. Kita harus kembali kepada perjuangan kelas. Kita harus membina kekuatan bukan sahaja di media sosial dan alam maya, tetapi di dunia nyata dengan kekuatan sebenar.

Naratif baru perjuangan rakyat tidak boleh lagi berlandaskan kaum dan agama. Ia juga tidak boleh secara sendiri dan bersifat sementara. Satu organisasi gerakan rakyat dari bawah perlu dibentuk.

Gerakan ini harus inklusif bagi semua perjuangan rakyat yang terpinggir supaya membentuk kekuatan kelas rakyat marhaen. Perjuangan ini harus mempunyai satu program di mana kekuatan politik harus digembleng dari bawah.

Gerakan ini juga harus sedar bahawa kita gagal hari ini. Namun hari-hari esok menanti perjuangan yang lebih hebat dan menyerlah. 


S ARUTCHELVAN adalah timbalan pengerusi PSM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.