Skip to main
Logo Malaysiakini

Hannah Yeoh saran Ismail wujudkan kementerian kanak-kanak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh meminta perdana menteri yang baru saja mengangkat sumpah, Ismail Sabri Yaakob untuk mewujudkan kementerian khusus untuk kanak-kanak.

"Ismail Sabri perlu memberi keutamaan kepada kesejahteraan kanak-kanak. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020, populasi kanak-kanak di Malaysia adalah hampir 30% di kebanyakan negeri dengan Wilayah Persekutuan adalah tertinggi iaitu 38.5% (hampir mencecah 40%!).

"Ini adalah kumpulan yang besar dan mereka adalah masa depan kita dan aset terbesar negara. Pandemik ini telah mendedahkan dan mengesahkan akan kelemahan sistem perlindungan untuk kanak-kanak dalam negara kita," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Yeoh menyorot bahawa bakul makanan yang disediakan oleh kerajaan sebagai bantuan tidak mengandungi susu untuk bayi dan kanak-kanak kecil.

"Selepas hampir satu tahun lebih melawan Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru menyedari keperluan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang telah menjadi yatim piatu disebabkan Covid-19," katanya.

Tambah Yeoh, sebelum Covid-19 melanda negara lagi, kanak-kanak di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan penindasan termasuk penderaan, gangguan seksual dan pengabaian.

Katanya, semasa Pakatan Harapan mentadbir di Putrajaya, mereka bersungguh-sungguh memberi tumpuan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kanak-kanak disebabkan ketidakupayaan mereka untuk melindungi diri sendiri sehingga menyebabkan mereka selalu teraniaya.

"Kami telah melantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang pertama, melancarkan Sistem Semakan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, memperuntukkan geran bagi penubuhan Taska di Tempat Kerja di Sektor Awam, melancarkan infografik untuk pengasuh dan ibu bapa, berkerjasama dengan Google menerbitkan video kempen kesedaran mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat untuk kanak-kanak, menyediakan WhatsApp Talian Kasih bagi memudahkan pelaporan dan pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak.

"Semua inisiatif di atas memerlukan sumber dan tenaga kerja yang berdedikasi dalam memberikan perlindungan kepada kanak-kanak.

"Sebagai contoh, kami telah melancarkan kajian untuk menubuhkan sebuah Agensi Kanak-Kanak dan kajian penambahan Pelindung Kanak-Kanak di seluruh negara berbanding 208 orang pada masa itu.

"Seorang Pelindung Kanak-Kanak mengendalikan sehingga 80 kes kanak-kanak sehingga menyukarkan mereka melakukan tindakan susulan. Nisbah seorang Pelindung kepada kanak-kanak adalah 1:45,142 dan mustahil mereka dapat melindungi kanak-kanak dengan lebih berkesan," katanya.

Selain itu, kata Yeoh lagi, terdapat perbincangan awal yang dilakukan untuk menstruktur semula Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE), mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mempermudahkan prosedur kewarganegaraan melibatkan ibu warganegara Malaysia, proses pengangkatan, penjagaan anak angkat dan perkongsian data dengan pihak polis.

"Kesejahteraan kanak-kanak kita semakin teruk terancam ketika lockdown berterusan. Jika begitu banyak mesyuarat boleh diadakan untuk mengagihkan jawatan kepada para bakal menteri, sudah pasti isu kanak-kanak wajar mendapat lebih perhatian.

"Jika kerajaan PN boleh memberikan kepada 32 Menteri dan 38 Timbalan Menteri satu portfolio setiap seorang, tentunya bukanlah sesuatu yang sukar untuk Ismail Sabri mewujudkan Kementerian Kanak-Kanak.

"Sudah tiba masanya perdana menteri Malaysia yang baharu mengutamakan isu kanak-kanak berbanding jawatan penasihat khas bertaraf menteri.

"Adalah lebih berbaloi wang hasil pembayar cukai dibelanjakan untuk anak-anak kita," tegasnya.