Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerana murai, lelaki parah ditetak tiga lelaki

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Susulan tindakan menyiasat kehilangan seekor burung murai miliknya, seorang lelaki cedera parah selepas ditetak tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Pauh Jabit, Bachok, Kelantan, petang semalam.

Kejadian itu menyebabkan mangsa, Mohd Roslaidi Arifin, 42, putus ibu jari sebelah kanan, luka di bahagian atas kepala, betis kanan dan lutut kiri akibat tetakan menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.35 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan pihaknya dimaklumkan kejadian seorang lelaki diserang dengan menggunakan pedang oleh tiga lelaki termasuk dua yang dikenali mangsa.

"Hasil siasatan rakan mangsa berusia 27 tahun yang menemani lelaki itu, memaklumkan kejadian berpunca disebabkan mangsa ingin mencari seorang lelaki untuk berbincang mengenai kecurian burung murai peliharaannya yang disyaki dicuri dua hari lalu.

"Tetapi tiada laporan polis yang di buat mangsa berhubung kehilangan burung murai tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Jelasnya, mangsa pergi ke lokasi kejadian iaitu rumah salah seorang daripada tiga lelaki itu kerana mendapati lelaki yang ingin dicarinya sering melepak di situ, namun lelaki itu tiada ketika kejadian.

Mohamad Ismail berkata, mangsa bertindak menggari seorang daripada tiga suspek untuk dijadikan tebusan.

"Akibatnya, mangsa telah diserang oleh ketiga-tiga suspek dengan menggunakan sebilah golok dan pedang sehingga mengalami kecederaan.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana putus ibu jari sebelah kanan, luka di bahagian atas kepala, di betis kanan dan lutut kiri," katanya.

Tambahnya, polis telah mengenal pasti ketiga-tiga suspek dan tangkapan segera akan dilakukan.

Katanya, butiran diri suspek akan diperolehi dan akan dibuat orang dikehendaki.

"Kes disiasat di bawah 326 Kanun Keseksaan," kata Mohamad Ismail.