'Adakah Pemuda Umno sedang melobi Mat Hasan demi akses GLC?'
Seorang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan motif di sebalik desakan Pemuda Umno Malaysia yang mahu timbalan presiden mereka, Mohamad Hasan, dilantik sebagai menteri kewangan.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Sharan Raj berkata orang ramai memang tahu Umno - termasuk sayap pemudanya - tidak berpuas hati kepada penyandang sebelum ini Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Dakwa Sharan Pemuda Umno sebelum ini tidak mendapat sebarang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika kebanyakan kedudukan tersebut dilantik melalui Kementerian Kewangan,
"Adakah Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki sedang melobi untuk Mohamad sebagai kenteri kewangan agar dia dapat memastikan akses kepada jawatan GLC?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Asyraf Wajdi mencadangkan agar Mohamad dibawa ke dalam kabinet Ismail Sabri Yaakob selepas naib presiden itu dilantik menjadi perdana menteri baru pada 21 Ogos lalu.
Alasan Asyraf Wajdi, jawatan berkenaan mesti disandang oleh individu “yang biasa bergelumang dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka”.
Katanya, pelantikan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu membolehkan beberapa tuntutan seperti pelaksanaan moratorium pinjaman bank, pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra selain tambahan nilai pakej-pakej bantuan rakyat boleh diuruskan dengan baik.
Elak kronisme, nepotisme
Untuk rekod Mohamad ketika ini hanya merupakan Adun Rantau di Negeri Sembilan, namun dia boleh dilantik sebagai senator bagi melayakkannya menjadi anggota kabinet.
Jika Asyraf Wajdi mendakwa Pemuda Umno tidak mementingkan jawatan dalam GLC pula, kata Sharan, sayap politik itu wajar memberikan ikrar untuk tidak menerima sebarang tawaran dari kerajaan.
"Sebaliknya Asyraf Wajdi perlu menegaskan agar jawatan lantikan politik dalam GLC diserahkan kepada kesatuan sekerja masing-masing.
"Lantikan politik menyebabkan banyak GLC perlu diselamatkan dengan cukai rakyat dan ramai orang hilang kerja seperti syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
"Pekerja merupakan tulang belakang setiap organisasi kerja tetapi merupakan golongan pertama hilang kerja akibat salah tadbir akibat lantikan politik," katanya.
Menurut Sharan PSM yakin jawatan lantikan politik perlu digantikan dengan wakil daripada kalangan kesatuan sekerja untuk menghapuskan kronisme, nepotisme dan patronisme dalam kalangan ahli politik.
"Dengan itu golongan pekerja tidak akan disalah tadbir oleh GLC kerana ia adalah periuk nasi mereka," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai