Pulau Pinang pohon tambahan vaksin
Kerajaan Pulau Pinang memohon tambahan bekalan vaksin daripada kerajaan Persekutuan dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata setakat semalam, Pulau Pinang mencatat pencapaian suntikan dos pertama sebanyak 77.5 peratus untuk populasi dewasa manakala dos kedua adalah sebanyak 45.4 peratus.
"Kekangan bekalan vaksin yang dihadapi Pulau Pinang perlu diatasi segera memandangkan peningkatan kes harian yang memerlukan perhatian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada 6 Ogos, kerajaan negeri memohon penambahan bekalan 500,000 dos vaksin namun hanya memperoleh tambahan bekalan sebanyak 210,000 dos.
"Justeru, sudah tiba masanya tumpuan turut diberikan kepada keperluan negeri-negeri di luar daripada program Greater Klang Valley (GKV) demi meningkatkan kadar vaksinasi semasa," katanya.
Chow sebelum ini pernah mengumumkan Pulau Pinang berharap dapat mencapai sasaran 100 peratus golongan dewasa di negeri itu menerima dos pertama vaksin masing-masing menjelang awal bulan depan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai