Janji PM pada anak muda sebab rakyat muak politik ‘orang lama’ - Penganalisis
Rasa muak dan bosan dengan mainan politik “orang lama” kemungkinan menjadi faktor Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menjemput penglibatan anak muda dalam agenda pemulihan negara, kata penganalisis politik.
Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata, ini kerana rakyat telah muak dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan.
“Mungkin kenapa perdana menteri menyebut ungkapan anak muda diperlukan adalah rakyat telah muak dengan kemelut politik yang dicetuskan oleh orang lama ataupun otai politik,” katanya kepada Malaysiakini.
Dalam penampilan sulung selaku perdana menteri pada 22 Ogos, Ismail memberi jaminan pentadbirannya akan mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda.
Dia berkata kerajaan akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baru ekonomi dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.
Untuk mencapai objektif dan fokus tersebut, katanya, penglibatan anak muda amat diperlukan.
Azmi mentafsirkan ungkapan “anak muda” yang dimaksudkan perdana menteri lebih merujuk kepada negara memerlukan nafas dan idea baru.
“Dalam era pandemik ini kita memerlukan seorang pemimpin yang berani membuat keputusan, yang berani membuat keputusan menongkah arus, yang berani membuat keputusan tidak disangka-sangka.
“Lazimnya mereka yang mempunyai kekuatan idealisma seperti inilah (merupakan) anak-anak muda.
“Dan jangan lupa juga kepada mereka yang tidak pernah menceburi bidang politik dikira nafas baru,” katanya.
Semai kepimpinan dari kecil
Prof Kartini Aboo Talib berpendapat untuk mewujudkan muka baru dalam politik negara, ia akan mengambil masa memandangkan budaya politik yang masih kuat dalam negara.
“Hasrat rakyat adalah idealisme, tetapi secara realiti kembali kepada penjelasan tentang budaya politik yang masih utuh senioriti, patron-client, hierarki..maka ambil masa,” katanya memberi contoh segelintir ahli parlimen di bawah umur 30 tahun seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan P Prabakaran (Batu).
Anak muda katanya, boleh kongsi idea mereka melalui wakil rakyat, platform seperti media sosial dan boleh dilibatkan secara aktif menerusi perancangan pemulihan negara sesuai dengan kapasiti orang muda.
Namun, Kartini berkata suara anak muda telah sedia ada dan kebanyakannya aktif menerusi penyertaan melalui badan bukan kerajaan (NGO), serta berkongsi pandangan melalui media sosial.
Dia memberi cadangan untuk meningkatkan laluan budaya politik untuk anak muda, yang boleh disemai dari kecil seperti yang dilakukan di luar negara.
“Di Boston pada usia prasekolah kanak-kanak sudah diajar berpiket jika budget pendidikan dipotong,” katanya.
Manakala di Finland pula mereka yang berusia 16 tahun dibenarkan bekerja dan dibenarkan mengundi, jelasnya.
“Ia adalah suatu kebiasaan kerana anak muda sudah boleh berdikari, bekerja dan membayar cukai.
“Bila membayar cukai mereka layak mengundi dan berhak mempersoalkan wang rakyat yang diguna dan diurus oleh wakil rakyat yang membentuk kerajaan,” katanya yang membuat perbandingan budaya di Malaysia di mana mereka yang berusia 18 tahun kebanyakannya masih bergantung kepada ibu bapa.
Oleh itu, jelasnya perdana menteri boleh mempertimbangkan agar undi 18 diluluskan dan meletakkan syarat kepada belia yang telah bekerja penuh atau sambilan, serta yang membayar cukai untuk terlibat sebagai pengundi.
Beri peranan besar kepada anak muda
Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hadi melihat kenyataan Ismail mengenai penglibatan anak muda dalam agenda pemulihan negara tidak akan memberikan sebarang perubahan.
“Yang utama adalah apa yang dilakukan. Kita lihat suara orang muda ditekan di bawah pentadbiran sebelum ni - hantar aparat ugut, siasat, tangkap yang bersuara.
Dia merujuk kepada tindakan polis yang didakwa berlaku kasar terhadap peserta acara nyalaan lilin yang dianjurkan Sekretariat Solidariti Rakyat di Dataran Merdeka pada malam Khamis lalu.
“Kepimpinan beliau akan diuji dengan kritikan dan kempen selepas ini, bagaimana beliau bereaksi akan menjawab soalan ini.
“Tambahan pula, mari kita lihat nanti kabinet yang akan dibentuk; di mana suara orang muda dan berapa ramai akan diangkat,” katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Amir mencadangkan supaya Kabinet rentas parti diwujudkan dan memberikan peranan lebih besar kepada pemimpin anak muda.
“Pemimpin dari parti beliau sendiri seperti saudara Shahril Hamdan perlu diangkat dan diberi ruang dalam pentadbiran, selain pemimpin muda dari parti yang lain.
“Ada rancangan untuk jemput semua dalam Majlis Pemulihan Negara; jangan abai suara orang muda. Semua mesti dilibatkan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga perlu menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dalam menangani pandemik Covid-19, terutamanya isu tindakan dua darjat.
“Kita boleh lihat sebelum ni bagaimana VIP (individu ternama) tak diambil tindakan, tapi rakyat sentiasa dihukum. Pentadbiran hari ini, adalah pentadbiran sama yang dikritik sebagai kerajaan gagal.
“Orangnya sama, partinya sama, malah PM hari inilah yang bertanggungjawab urus SOP sebelum ni. Ini perlu diperhalusi dan dibaik pulih dahulu.
“Apa yang telah dibuat selama ini terbukti bukan yang terbaik. Perbaiki yang sedia ada (seperti SOP), beri rakyat bantuan yang sustainable sehingga ekonomi pulih, bentang pelan untuk pembukaan sekolah dan universiti," katanya.
Meskipun mahukan muka dan nafas baru dalam kerajaan hari ini, Amir berkata pihaknya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap pentadbiran di bawah Ismail.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai