Skip to main
Logo Malaysiakini

PM dikritik selepas MP Umno ikut rombongan ke kawasan banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima kritikan selepas tersebar gambar memaparkan rombongan ahli-ahli parlimen turut serta dalam lawatan rasminya ke daerah dilanda banjir di Kedah semalam.

Kritikan turut mempertikaikan papan iklan besar di Kuala Muda - salah satu kawasan dilanda banjir - yang mengalu-alukan lawatan perdana menteri itu.

Ismail Sabri terbang ke Kedah semalam menaiki pesawat kerajaan.

Antara ahli parlimen Umno yang dikatakan turut berada dalam perjalanan itu - seperti dalam gambar tular - ialah Mahdzir Khalid (Padang Terap), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Hasan Arifin (Rompin) dan Mohd Salim Sharif (Jempol).

Ketua wanita Umno Noraini Ahmad turut dilaporkan antara yang berada bersama Ismail Sabri dalam lawatannya itu.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabat Ismail Sabri dan beberapa ahli parlimen yang dikatakan terlibat, untuk mendapatkan maklum balas. 

Seperti tiada simpati - AMK

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata lawatan berkenaan semalam seperti tidak mempamerkan rasa empati dan simpati terhadap mangsa, serta seperti tidak memahami derita dan kesengsaraan mangsa bencana.

“Tidak hairan apabila terdapat pandangan netizen di laman media sosial yang menganggap ini sebagai lawatan sambil belajar yang merugikan tanpa menghiraukan kesukaran rakyat.

“[...] Selain itu apakah keperluan didirikan sebuah billboard besar yang tertera ayat ‘selamat datang dan tahniah YAB Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia ke-9’ di tengah-tengah kawasan bencana?”

“Adakah ini program ‘gimik’ untuk beliau memperkenalkan diri kepada mangsa-mangsa bencana yang masih menanggung beban musibah bahawa beliau adalah perdana menteri Malaysia yang baharu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal Nasir 

Tambah ahli parlimen Johor Bahru itu, terdapat dakwaan bahawa rombongan Ismail Sabri disertai lebih 50 kenderaan dalam konvoi mereka.

Juga katanya, terdapat satu rakaman video yang menunjukkan perdana menteri dan rombongannya gagal mematuhi penjarakan fizikal dengan kehadiran yang sangat ramai.

“Apakah ini contoh yang baik daripada seorang perdana menteri yang sebelum ini ditugaskan menyediakan serta mengumumkan SOP (prosedur operasi standard) bagi mengekang penularan wabak Covid-19?” soalnya.

Sebanyak kira-kira 1,000 rumah di Yan dan Kuala Muda terjejas akibat dilanda bencana banjir.

Bencana itu mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.