Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan sedia peruntukan tambahan bagi kawasan PKPD

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan bersetuju untuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM20,000 kepada setiap dewan undangan negeri (DUN).

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, peruntukan itu akan diberikan melalui anggota dewan undangan negeri (Adun) sebagai bantuan tambahan kepada rakyat yang terjejas kerana perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan dikuarantin di rumah.

"Insya-Allah kita akan keluarkan RM20,000 bagi setiap Adun bagi membantu kawasan-kawasan PKPD.

"Yang lain-lain bergantung kepada kewangan, Insya-Allah kerajaan tidak akan simpan wang sehingga dimurkai Allah. 

"Kita akan belanja ikut keupayaan kewangn yang ada pada kita," katanya pada sesi pergulungan persidangan keempat DUN penggal ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Ahmad (PAS-Pasir Pekan) berkata demikian selepas cadangan dan permohonan dikemukakan Mohd Alwi Che Ahmad (Umno - Kok Lanas).

Terdahulu ketika tampil mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal-jawab lisan, Mohd Alwi memohon pertimbangan kerajaan negeri supaya disediakan peruntukan tambahan khusus untuk membantu rakyat di kawasan-kawasan PKPD.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat di Kelantan meminta bantuan daripada wakil rakyat apabila mereka terlibat dengan PKPD atau dikuarantin sepanjang pandemik Covid-19 ini.

"Sudah menjadi satu tabiat kepada orang kita, terutama apabila kawasan mereka kena PKPD, tak boleh keluar rumah. Kalau tak boleh keluar mereka akan cari wakil rakyat.

"Ini tabiat puak kita, kalau pukul tiga kena PKPD dia nak pukul 3.30 dah sampai bantuan. Yang ini kita tidak ada peruntukan.

"Adakah boleh pihak kerajaan menyediakan sedikit peruntukan bukan sahaja untuk PKPD tapi juga kepada yang kena kuarantin?" soalnya.

Sementara itu Ahmad berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab seboleh mungkin dalam usaha membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19.