Skip to main
Logo Malaysiakini

'Wajah lama dalam kabinet baru' - Zaid ingatkan Zahid jangan puji terlalu awal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesalahan atas kegagalan kerajaan sebelumnya tidak terletak pada bahu satu orang saja, kata bekas menteri Zaid Ibrahim.

Menekankan tanggungjawab bersama, dia mengatakan bahawa tidak adil menuding jari terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sahaja.

Dia juga memberi amaran kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar tidak membuat dakwaan terlalu awal mengenai prestasi kerajaan baru.

"Tidak adil mengaitkan kegagalan itu hanya kepada Muhyiddin. Itulah sebabnya para menteri mengundurkan diri bersama Muhyiddin. Ini adalah tanggungjawab bersama.

"Malah, seseorang yang tidak berkaitan dengan kerajaan masa lalu seharusnya dilantik sebagai perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Kenyataan Zahid bahawa kerajaan baru tidak akan gagal seperti Muhyiddin adalah terlalu awal. Kita masih tidak tahu siapa ahli kabinet, boleh jadi mereka yang menyumbang kepada kegagalan Muhyiddin,” tambahnya.

Sabtu lalu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan menggantikan Muhyiddin, yang terpaksa mengundurkan diri setelah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Zahid dan ahli parlimen Umno yang berpihak kepadanya telah mengkritik kerajaan Perikatan Nasional kerana gagal membendung wabak Covid-19.

Setelah Zahid dan 14 ahli parlimen Umno lain menarik sokongan mereka, Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatannya setelah 17 bulan memegang tampuk pemerintahan negara.

Namun, Muhyiddin dan partinya Bersatu kemudiannya menyokong Ismail untuk menjadi perdana menteri.

Ismail pernah bertugas sebagai menteri kanan yang bertanggungjawab dalam kluster keselamatan dalam pentadbiran sebelumnya sebelum dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Berbagai pihak telah mengkritik Ismail, selain bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa Azmin Ali susulan situasi Covid-19 yang semakin buruk.

Sumber kini mendakwa bahawa Azmin kemungkinan akan diangkat sebagai timbalan perdana menteri yang baru.

Dalam catatan Facebooknya malam tadi, Zahid mengatakan kerajaan baru mesti menghindari kesalahan pendahulunya dan menepati harapan rakyat.

Presiden Umno itu mengulangi beberapa kritikan sebelumnya terhadap kerajaan Nasional Perikatan, termasuk mengenai moratorium pinjaman bank dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Zahid, antara lain menyenaraikan "keputusan populis yang berbahaya" sebagai antara kegagalan PN, dengan merujuk keputusan memberikan terlalu banyak kelonggaran sebelum imuniti kelompok dicapai sebagai contoh.