Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendapatan Kelantan merosot RM37.6j setakat Julai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini dimaklumkan jumlah pendapatan negeri merekodkan RM350.11 juta setakat Julai lepas.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata kedudukan kewangan berkenaan sekali gus menunjukkan kemerosotan berbanding tahun lepas bagi tempoh yang sama iaitu RM387.74 juta.

“Dalam keadaan ini, dari segi perbelanjaan kita sudah defisit,” katanya semasa sesi penggulungan menjunjung kasih kepada titah Sultan Kelantan pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Menjelas lanjut, Ahmad berkata perbelanjaan kewangan kerajaan negeri pada tahun ini banyak menumpukan kepada bantuan untuk menyelesaikan masalah rakyat berkaitan Covid-19, selain mengikut Belanjawan 2021.

“Namun, insya-Allah kita akan lihat mana-mana item yang kita tidak dapat belanjakan kerana Covid-19, kita akan kumpul dan kalau ada positifnya kita akan menilai apa sahaja program yang boleh bantu rakyat kita.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluan rakyat,” katanya sambil menambah kerajaan negeri akan memberi bantuan RM20,000 bagi setiap pusat khidmat DUN yang kawasannya dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ahmad berkata ini bagi membantu setiap wakil rakyat terlibat untuk menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas ekoran perintah berkenaan.

Persidangan DUN Kelantan ditangguhkan dan bersambung 9 pagi esok.

- Bernama