Skip to main
Logo Malaysiakini

Peletakan jawatan Azalina buka jalan pembaharuan parlimen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata peletakan jawatan Azalina Othman Said sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat telah membuka jalan bagi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan pembaharuan penting parlimen.

Pembaharuan yang dicadangkan termasuk melantik ahli parlimen daripada kalangan pembangkang sebagai timbalan speaker untuk menggantikan Azalina.

"Peletakan jawatan Azalina sebagai timbalan speaker membuka jalan bagi pembaharuan parlimen yang memberi kesan yang besar, di mana timbalan speaker datang dari pembangkang.

"Tetapi ini mesti menjadi sebahagian daripada pembaharuan parlimen dan institusi utama yang harus dilakukan oleh perdana menteri baru.

"Ada banyak hal yang harus dilakukan oleh perdana menteri baru, khususnya strategi dan pendekatan 'seluruh masyarakat' untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, dia mengatakan Ismail harus terbuka terhadap kritikan dan cadangan, khususnya daripada pakar mengenai isu-isu seperti pemberhentian doktor awam dari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), menyegerakan vaksinasi di negeri di luar Lembah Klang dan masalah lain yang berkaitan.

Katanya, bukan hanya Ismail, tetapi semua pihak perlu kembali kepada prinsip dasar dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara kerana itu adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan krisis politik di negara ini.

Prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam perlembagaan dan Rukun Negara adalah raja berperlembagaan berdasarkan demokrasi berparlimen, doktrin pengasingan kuasa, kedaulatan undang-undang, menegakkan pemerintahan yang baik dan hak asasi manusia, tambahnya.

"Kita harus pulis sebelum kita dapat mendepani cabaran berikutnya - untuk memenuhi cita-cita Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman untuk menjadi lampu penerang dalam dunia yang sukar.

"Tetapi sebelum kita dapat menjadi lampu penerang kepada dunia, kita harus mencapai status negara besar bertaraf dunia dan tidak berada dalam lintasan negara yang gagal.

"Inilah cabaran yang perlu dihadapi perdana menteri baru," kata Lim.

Semalam, Azalina mengesahkan pengunduran dirinya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, dengan mengatakan dia berharap keputusannya akan memacu "reset" persidangan parlimen yang akan datang.

Peletakan jawatannya berikutan penubuhan kerajaan baru di bawah Ismail, yang juga naib presiden Umno.