Tiada tindakan lanjut, kata Fahmi berhubung satira #DengkiKe
Aktivis Fahmi Reza memberitahu Jabatan Peguam Negara tidak bercadang mendakwanya di mahkamah berhubung siasatan kes lakaran satira yang menyentuh imej Raja Permaisuri Agong.
Hal itu dinyatakan Fahmi dalam hantaran di media sosialnya petang ini.
"Good news (berita baik) dari Bukit Aman!
"Ingat lagi 20 anggota polis datang tendang pintu rumah aku, tahan aku bawah Akta Hasutan dan lokap aku sebab karya satira #DengkiKe dengan gambar Permaisuri Agong bulan April lalu?
"Hari ni pihak polis beritahu aku kertas siasatan dah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan kes aku diklasifikasi sebagai NFA! No Further Action! Tiada tindakan lanjut! Maknanya kes aku sudah digugurkan!" tulisnya lewat petang ini.
Sebelum ini Fahmi ditahan untuk disiasat selepas menghasilkan grafik dengan tanda pagar #DengkiKe dan dianggap menyindir Tunku Azizah Aminah Mainumah Iskandariah.
Terdahulu Fahmi memuat naik gambarnya di Facebook untuk memberitahu dia mempunyai janji temu dengan polis di Bukit Aman pada jam 3 petang tadi.
Dalam karya satira yang dihasilkan Fahmi pada April lalu, Fahmi menyusun senarai 101 lagu bertema cemburu di platform penstriman muzik Spotify.
Lagu ke-101 dalam senarai itu ialah God Save The Queen dendangan kumpulan punk Sex Pistol. Senarai lagu-lagu sepanjang tempoh enam jam itu dinamakan sebagai This Is Dengki Ke? dan turut menggunakan gambar Permaisuri Agong.
Ia mendapat suka kira-kira 2,500 kali dan masih boleh diakses di Spotify.
Selain Akta Hasutan, Fahmi juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tunku Azizah menggunakan frasa "dengki ke?" ketika memberi komen kepada pengulas media sosial yang bertanya adakah tukang masaknya turut diberi vaksin.
Komen berkenaan termuat di bawah gambar baginda dengan kakitangan dapur istana yang dimuat naik di akaun Instagram @airtangan_tunkuazizah.
Tunku Azizah kemudian menyahaktifkan akaun Instagramnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai