Skip to main
Logo Malaysiakini

Perkeso beri faedah bulanan pada 8 beradik hilang ibu bapa akibat Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nasib lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 terus terbela apabila menerima faedah bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah skim pekerjaan kedua-dua orang tua mereka.

Ketua Eksekutif Perkeso Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata lapan beradik yang berusia lingkungan empat hingga 19 tahun itu layak menerima faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan arwah ayah mereka dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan bagi arwah ibu mereka.

“Kedua-dua bantuan faedah ini, yang keseluruhannya berjumlah RM2,400 sebulan, akan dibayar secara bulanan kepada lapan beradik tersebut sehingga mereka mencecah usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

“Mereka juga telah menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM4,000,” katanya selepas menziarahi lapan beradik itu di Kuala Lumpur hari ini.

Kunjungan itu bagi menyampaikan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang juga layak diterima oleh ibu waris untuk tempoh sepanjang arwah dirawat di hospital selain sumbangan Kotak Prihatin berupa barangan keperluan harian.

Kelapan-lapan beradik menjadi yatim piatu sejak sebulan lepas apabila bapa mereka, Ben Yajeed Bernie, 45, menghembuskan nafas terakhir pada 16 Julai di Hospital Selayang akibat Covid-19 diikuti ibu mereka Noraini Ibrahim, 43, tiga hari kemudian kerana jangkitan virus yang sama ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Berdasarkan laporan, arwah Ben Yajeed positif Covid-19 setelah dijangkiti virus itu daripada isterinya yang mendapat jangkitan di tempat kerja dan semakan Perkeso mendapati kedua-dua mangsa merupakan pencarum serta memenuhi syarat kelayakan faedah yang ditetapkan.

Sebelum ini, Nazurah Nabilah,19, Muhammad Muzakkir, 18, Nurhani Nabilah, 16, Nurnasuhah Nabilah, 14, Muhammad Benjamin, 13, Muhammad Bennazir Sulaiman, 10, Nur Rawdhah Nabilah, 8, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 4, turut ditawarkan bantuan oleh kerajaan Pahang iaitu Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma.

Tapak rumah RRP yang dicadangkan ialah di kampung asal ibu mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut, Pahang.

Buat masa ini, mereka tinggal di rumah sewa bersama dengan ibu saudara di Rawang, Selangor.

Pencen Penakat adalah satu faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang dibayar kepada tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans Perkeso meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

FOT pula adalah faedah dalam Skim Bencana Pekerjaan yang dibayar kepada tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans Perkeso meninggal dunia akibat bencana pekerjaan contohnya balu, duda, anak berusia di bawah 21 tahun, ibu, bapa, adik-beradik, datuk atau nenek.

-Bernama