Skip to main
Logo Malaysiakini

Industri pelancongan Kelantan rugi RM2.6 bilion tahun lalu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Negeri Kelantan merekodkan kerugian sebanyak RM2.6 bilion bagi sektor pelancongan akibat pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, Md Anizam Ab Rahman berkata, ia berdasarkam statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Menurutnya, impak wabak Covid-19 menyebabkan kekurangan pelancong masuk ke negeri ini kerana pergerakan yang dihadkan sekali gus memberikan kesan terhadap industri itu.

"Laporan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menggangarkan sektor pelancongan negara mengalami kerugian 45 bilion tahun lalu.

"Begitu juga negeri Kelantan dianggarkan daripada statistik Jabatan Perangkaan dianggarkan kerugian RM2.6 billion," katanya ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (Umno- Galas) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Md Anizam (PAS-Kemahang) berkata, kerajaan negeri juga mengaturkan beberapa bantuan kepada pemain industri yang melebihi RM724,750 termasuk kepada pihak hotel, bot pelancong, pemandu pelancong dan sebagainya.

"Antara bantuan yang kita berikan termasuk bantuan sanitasi kepada hotel yang berdaftar dengan Motac di negeri ini, wang tunai RM1,000 masing-masing kepada agensi pelancongan, penggiat seni, pemandu beca dan sebagainya.

"Di samping sumbangan kerajaan negeri, kita turut menerima bantuan daripada kerajaan Pusat yang bantu untuk meringankan beban," jelasnya.