Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia 5 tahun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dua minggu lepas.

Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, yang merupakan ibu kandung kepada mangsa dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh bagi menunggu fakta kes dan menetapkan 29 Sept depan sebagai tarikh jatuh hukum.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan yang tidak bekerja dan Chua yang merupakan pengawal keselamatan didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera di sebuah rumah di Champhor Garden City, Bandar Hilir di Melaka, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahida Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mangsa kini ditempatkan di bawah penjagaan sementara keluarga saudaranya dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

- Bernama