Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA ADUN l Perjuangan wanita global agenda kita semua

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KATA ADUN l Selepas artikel bertajuk “Masyarakat antarabangsa perlu memantau hak wanita dan kanak-kanak Afghanistan” yang ditulis oleh Zuraida Kamaruddin disiarkan sebuah portal berita tempatan, banyak pihak memberikan reaksi berkenaan apa yang dibincangkan.

Dalam artikel tersebut, Zuraida merungkai empat isu utama iaitu:

(1) Kerisauan beliau terhadap sikap Taliban yang sebelum ini bersikap menindas golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.

(2) hala tuju pemberdayaan wanita di Afghanistan.

(3) Peranan pertubuhan-pertubuhan negara Islam dalam membantu rakyat Afghanistan.

(4) Peranan yang perlu diambil oleh semua pemimpin Muslim dalam memastikan keselamatan dan pembangunan wanita di Afghanistan.

Namun begitu, terdapat juga beberapa pihak yang berpandangan sinis dengan mengandaikan bahawa isu yang dibincangkan oleh Zuraida merupakan “political stunt” semata-mata.

Malah, ada juga yang secara semberono menuduh bahawa beliau tidak mempedulikan isu-isu wanita dan kanak-kanak perempuan di Malaysia tetapi sibuk untuk mencampuri urusan negara lain.

Sudah tentu ini merupakan pandangan yang amat dangkal dan menunjukkan bahawa komen-komen sedemikian datangnya daripada mereka yang tidak mengenali beliau dan juga tidak memahami tentang perjuangan hak wanita di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Penglibatan beliau dalam memperjuangkan isu kemanusiaan antarabangsa telahpun bermula sebelum beliau menjadi ahli politik. Dari tahun 2001 hingga 2008 beliau mengikuti misi kemanusiaan di tempat-tempat seperti Aceh (Indonesia), Afghanistan, Yaman dan beberapa negara lagi.

Agenda perjuangan isu kemanusiaan dan wanita ini beliau teruskan sehinggalah beliau menyertai PKR dan seterusnya menjadi ahli Parlimen Ampang pada tahun 2008.

Di peringkat antarabangsa pula penglibatan beliau diiktiraf oleh organisasi Women Political Leaders (WPL), organisasi global yang memperjuangkan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik dan pentadbiran. Mereka melantik beliau menjadi duta organisasi tersebut bagi mewakili Malaysia.

Di Malaysia, sama ada di blok pembangkang atau kerajaan, komitmen beliau dalam memperjuangkan isu wanita dan kanak-kanak perempuan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Kahwin bawah umur

Sebagai contoh, beliau merupakan antara penyokong terkuat dalam usaha untuk menghapuskan perkahwinan bagi kanak-kanak bawah umur. Ini antara puluhan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau untuk menyokong usaha ini. “Poverty no reason to sell your kids”.

Begitu juga dalam isu-isu penderaan dan jenayah seksual di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan di Malaysia, beliau sendiri telah membawa isu tersebut dalam parlimen untuk dibincangkan secara serius.

Antara isu yang beliau perjuangkan pada ketika itu adalah pembelaan untuk anak-anak gadis Penan yang telah didera secara seksual. “Make penan report public, PKR says”.

Bagi mempercepatkan agenda pemberdayaan di peringkat negeri pula, pada tahun 2017 beliau menjadi pengasas dan pengerusi kepada Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor yang merupakan sebuah “think tank” kerajaan Selangor.

Melalui IWB kita berjaya mewujudkan Dasar Wanita Selangor 2017-2020 yang menjadikan Selangor ketika itu, negeri pertama yang mempunyai pelan tindakan khusus berkenaan hal-hal pemberdayaan wanita di Malaysia.

Zuraida juga menubuhkan Council of Malaysian Women Political Leaders (COMWEL) pada tahun 2020. Pertubuhan yang boleh dianggotai oleh mana-mana pemimpin wanita tanpa mengira parti politik ini, yang bertujuan membincangkan dan mengutarakan hal-hal berkaitan pemberdayaan dan pembangunan wanita di Malaysia dalam perspektif yang lebih luas. Pada ketika ini COMWEL dianggotai oleh 13 ahli parlimen dan 31 Adun wanita.

Perkara-perkara yang saya nyatakan di atas ini adalah antara isu-isu yang pernah dan sedang beliau perjuangkan demi wanita dan kanak-kanak perempuan di dalam dan di luar negara.

Contoh-contoh yang saya berikan di atas bukanlah untuk memuji beliau, tetapi untuk menjelaskan bahawa perjuangan yang dilaksanakan ini bukanlah bersifat retorik tetapi ia merupakan satu komitmen berterusan yang diberikan oleh beliau dan juga setiap pejuang hak asasi wanita di seluruh Malaysia.

Isu-isu berkenaan hak asasi dan keselamatan bagi wanita dan kanak-kanak perempuan sama ada di dalam negara ataupun di peringkat global perlu diberi pemerhatian yang serius oleh semua pihak.

Bagi isu Afghanistan, saya bersetuju dengan pendapat beliau bahawa pemimpin negara-negara Islam, terutamanya pemimpin wanita perlu memantau apa yang sedang berlaku di sana.

Bukan retorik

Ini bukanlah satu political stunt ataupun retorik, tetapi pada ketika ini sudah tiba masanya kita mencari jalan lain bagi memastikan hak asasi dan keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan di sana dapat dipertahankan.

Hal ini hanya akan dapat dicapai sekiranya OIC, Liga Arab dan mana-mana lagi pertubuhan negara Islam antarabangsa dapat bekerjasama bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai.

Seperti mana yang telah beliau tuliskan di dalam artikel tersebut, mungkin perlu diwujudkan suatu jawatankuasa antarabangsa, yang mana kita boleh mengumpulkan pemimpin-pemimpin wanita Islam dari negara-negara progresif di seluruh dunia, untuk bersama membentangkan idea bagaimana pemberdayaan dan pembangunan wanita dapat dilaksanakan mengikut acuan budaya dan fahaman tempatan.

Ini kerana negara tersebut perlukan bimbingan dan kita di Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif yang majoriti penduduknya adalah Muslim, dapat menunjukkan kepada mereka bahawa hak asasi wanita boleh dilaksanakan dalam kerangka Islamik.

Kita tidak mungkin akan dapat mengubah pemahaman mereka dalam masa yang singkat, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha untuk mendedahkan kepada perspektif berbeza dalam menguruskan isu wanita dan kanak-kanak di negara tersebut.

Isu hak asasi wanita dan kanak-kanak perempuan adalah isu penting yang merentasi sempadan. Di Malaysia juga kita mempunyai cabarannya yang tersendiri, namun kita tidak boleh terus berdiam diri dengan apa yang berlaku di peringkat global.

Adalah penting untuk kita semua sedar bahawa agenda untuk memperjuangkan hak asasi wanita ini adalah tanggungjawab setiap insan di muka bumi ini, tidak mengira agama, jantina, warna kulit atau negara.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong perjuangan ini, demi masa hadapan yang lebih baik untuk kita semua.


DR DAROYAH ALWI ialah Adun Sementa merangkap ketua Wanita Perikatan Nasional Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.