Skip to main
Logo Malaysiakini

2 peserta nyalaan lilin didakwa di mahkamah esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Wanita DAP Selangor Nalina Nair dan seorang lagi individu yang menyertai acara nyalaan lilin di Dataran Merdeka Khamis lalu akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Memaklumkan perkara itu, Nalina berkata pendakwaan terhadapnya dan Sujatra Jayaraj adalah berkenaan dengan penangkapan mereka ketika acara tersebut.

Menurut Nalina, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967. Menurut seksyen itu, "seseorang yang berkelakuan rusuh, lucah, tak senonoh atau aib di balai polis adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini".

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM500, atau kedua-duanya sekali.

"Saya tekankan sekali lagi, penjenayah sebenar di luar sana. Mereka benarkan 14,818 mati setakat hari ini kerana mereka tidak peduli kepada rakyat dan hanya peduli terhadap kuasa politik yang boleh diraih.

"Saya tidak takut dan tidak akan tunduk dengan taktik pengecut untuk menanam ketakutan kepada kalangan yang mahukan tadbir urus dan pengurusan wabak Covid-19 yang lebih baik," kata Nalina di Facebook malam ini.

Pada Khamis lalu, seramai 31 peserta acara nyalaan lilin - yang dianjurkan bagi memperingati mereka yang mati akibat Covid-19 - ditangkap polis dan masing-masing dikenakan denda RM2,000 kerana melanggar larangan mengadakan perhimpunan ketika penularan wabak.

Peserta kemudian membuat laporan polis kerana mendakwa penahanan mereka tidak sah dan dinafikan hak mereka oleh pihak polis sepanjang acara itu berlangsung.

Seorang peserta juga membuat laporan polis dan mendakwa mengalami kecederaan fizikal setelah lima anggota polis menyeretnya ke dalam kenderaan polis.