Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertemuan PM-PH mampu ubah landskap politik negara: Loke

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pertemuan antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) merupakan peristiwa bersejarah dalam politik Malaysia sekiranya ia disusuli dengan langkah konkrit, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

"Pertemuan ini berpotensi untuk mengubah landskap dan budaya politik di negara kita sekiranya semangat pertemuan ini disusuli dengan langkah-langkah konkrit untuk membawa reformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan dan memperkasakan institusi parlimen.

"Paradigma lama di mana parti kerajaan melihat parti pembangkang sebagai musuh politik semata-mata atau sebaliknya perlu dianjak dan diubah.

"Kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu ada kerjasama walaupun kami tetap akan berlawan antara satu sama lain dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ismail bertemu Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selama lebih satu jam.

Dalam kenyataan bersama selepas itu, mereka berkata persetujuan dicapai dalam memperkasa fungsi parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif.

Mereka juga bersetuju peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

"Cabaran sekarang untuk kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang ialah bagaimana merealisasikan semangat yang dipersetujui dalam kenyataan bersama tersebut.

"Saya cukup yakin bahawa sekiranya kedua-dua pihak mengambil satu langkah ke belakang, kami mempunyai ruang yang cukup besar untuk mencapai satu persefahaman yang akan memberi impak positif jangka panjang kepada negara kita," kata Loke.

Loke berkata, ahli politik mempunyai tugas untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik di negara ini.

"Kita mesti menyediakan kepemimpinan dan mari kita bersama-sama melakukannya," katanya.

Ismail Sabri yang dilantik sebagai perdana menteri kesembilan pada Sabtu lalu dilihat menggunakan pendekatan yang lebih mesra terhadap pembangkang.

Pendahulunya Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri setelah hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Ismail Sabri mendapat sokongan 114 anggota parlimen kerajaan daripada 220 anggota Parlimen di Dewan Rakyat.