Skip to main
Logo Malaysiakini

Wajibkan vaksin: Kumpulan mahu fail tindakan mahkamah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebuah firma undang-undang kini dalam proses memfailkan tuntutan tindakan kelas terhadap langkah kerajaan mewajibkan vaksin Covid-19 di sektor dan bidang tertentu.

Usaha itu dilakukan melalui saluran Telegram,  yang diselaraskan oleh peguam SP Chanravathane.

"Ini adalah kumpulan untuk individu yang ingin bersama mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia untuk membatalkan langkah mewajibkan vaksin,” Chanravathane di mesej Telegram.

Kerajaan Sarawak pada Isnin lalu mengumumkan hanya individu yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 dibenarkan bekerja atau memasuki mana-mana premis perniagaan di negeri itu, dengan pengecualian diberikan kepada mereka yang telah menerima satu dos vaksin sehingga akhir Ogos.

Pada akhir Julai lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilaporkan sedang dalam proses mewajibkan vaksinasi kepada semua pekerja sektor peruncitan sebagai salah satu prasyarat sebelum perniagaan dibenarkan dibuka semula, sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam mesej yang dihantar ke Telegram, Chanravathane berkata vaksinasi sepatutnya dilakukan secara sukarela dan sebarang usaha untuk memaksa seseorang itu divaksin adalah tidak sah dan bertentangan dengan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini mengenai usaha memfailkan tuntutan tindakan kelas itu, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Belum ada apa-apa yang dimuktamadkan lagi dan buat masa ni saya tak ada komen.

"Dan ia bukan saya (semata-mata), saya bertindak untuk kumpulan rakyat yang prihatin," katanya.

Ketika artikel ini ditulis, kumpulan ini mempunyai hampir 2,900 yang menyokong mereka, yang kebanyakannya menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap langkah tersebut dan bimbang tentang keselamatan vaksin.

Mereka yang berminat diminta mengisi “maklumat pelanggan” yang disediakan kumpulan tersebut.

Ia menyatakan setiap individu yang menyertainya harus membayar wang pendahuluan sebanyak RM600 untuk kos penyelidikan dan bahan, dengan sekurang-kurangnya 400 orang akan mengambil bahagian.

Langkah mewajibkan vaksin di tempat kerja mencetuskan kebimbangan mengenai hak pekerja untuk menolak vaksinasi dan akibat yang mungkin ditanggung terhadap mereka yang berbuat sedemikian.

Peguam yang mengkhusus undang-undang pekerjaan, Donovan Cheah, berpendapat majikan boleh mengambil tindakan terhadap pekerja yang enggan divaksin seperti menghalang mereka daripada datang ke tempat kerja atau memberhentikan mereka.

"Tetapi adakah tindakan tersebut adil atau tidak, ia bergantung pada faktor-faktor seperti alasan pekerja tersebut (enggan divaksinasi), tugas-tugas atau syarat yang diperlukan dalam pekerjaan pekerja berkenaan untuk berinteraksi dengan individu berisiko tinggi, keadaan perniagaan majikan dan sama ada pihak berkuasa telah menjadikan vaksinasi sebagai prasyarat untuk majikan beroperasi,” kata Cheah kepada Malaysiakini.

Secara umum, seseorang pekerja mesti mematuhi arahan majikan mereka, selagi arahan tersebut logik dan sah, atau pekerja tersebut berisiko diberhentikan atau dikenakan tindakan tatatertib, katanya.

Bagaimanapun, Cheah berkata seseorang pekerja itu juga kemungkinan  mempunyai alasan yang wajar untuk menolak vaksinasi, bergantung kepada keadaannya.

Dia memberi contoh sekiranya pekerja tersebut mempunyai isu kesihatan yang membuatkan diri mereka tidak selamat terhadap vaksinasi. 

[Baca berita penuh]