Skip to main
Logo Malaysiakini

'Projek lapangan terbang Kulim boleh jejaskan bekalan air Pulau Pinang'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi amaran bahawa projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), yang mungkin boleh menjejaskan bekalan air di Pulau Pinang.

PBAPP berkata, penilaian kesan persekitaran terhadap projek yang dicadangkan menunjukkan ia boleh mencemarkan Sungai Muda, yang membekalkan air ke Kedah Selatan dan kawasan berdekatan di Pulau Pinang.

"PBAPP tidak membantah cita-cita Kedah untuk meneruskan projek lapangan terbang antarabangsa baru yang dijangka membawa masuk pelaburan swasta bernilai RM3.8 bilion dan jumlah itu diharapkan akan disuntik ke dalam ekonomi tempatan dengan penyediaan pekerjaan dan infrastruktur.

"Namun, lapangan terbang tidak boleh di lokasi yang menempatkan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang dan Kedah selatan yang berisiko tinggi, sekarang dan pada depan.

"Adalahlebih baik berhati-hati dengan menempatkan projek besar ini ke tempat yang lebih selamat, jauh dari tebing Sungai Muda, sumber air mentah utama kepada Pulau Pinang dan Kedah selatan," kata ketua pegawai eksekutif PBAPP Jaseni Maidinsa dalam kenyataan pada hari Isnin.

Pada 2 Ogos lalu, kerajaan negeri Kedah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Kumpulan ECK untuk membina KXP menjelang 2026.

Fasa pertama pembinaan akan menelan belanja RM6 bilion termasuk kos pengambilan tanah.

Kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP tidak dirujuk 

Menurut kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), projek seluas 3,982 hektar terdiri daripada beberapa bahagian - lapangan terbang, sebuah aerotropolis (taman perniagaan dan perindustrian), pusat aeroangkasa dan hab logistik serta pembangunan lain termasuk jalan raya dan mitigasi banjir.

Projek ini akan terletak bersebelahan dengan dua bahagian tebing sungai Sungai Muda, sumber air utama untuk Kedah selatan dan Pulau Pinang sejak tahun 1974.

Katanya, lebih daripada 80 peratus keperluan air harian Pulau Pinang berasal dari tempat pengambilan di Seberang Perai, yang terletak kira-kira enam kilometer ke hilir dari tapak projek KXP.

"Oleh itu, projek pembangunan besar-besaran di sepanjang tebing Sungai Muda tidak sepatutnya membahayakan atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air 24/7 demi menyokong kesejahteraan 1.78 juta orang dan ribuan perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang," kata Jaseni.

Katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBAPP belum dirunding mengenai projek KXP.

Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Julai ada merujuk kepada PBAPP mengenai kawasan perindustrian yang terletak di sepanjang tebing Sungai Muda.

Untuk itu, PBAPP memberitahu JAS bahawa pencemaran Sungai Muda oleh operasi kilang yang dicadangkan boleh membawa "kesan yang teruk".

Ia akan memaksa PBAPP berhenti mengepam air dari pusat pengambilan Lahar Tiang, Seberang Perai, menyebabkan gangguan air kepada lebih dari satu juta penduduk Pulau Pinang, katanya.

Perbalahan air antara Kedah dan Pulau Pinang

Bekalan air telah menjadi perbalahan antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah, dengan Kedah ingin menjalankan projek takungan air di sepanjang Sungai Muda, yang akan menyekat bekalan ke Pulau Pinang.

Menurut Kedah, projek itu bertujuan untuk menjimatkan air untuk pengairan padi di negeri tersebut semasa musim kemarau.

Pada bulan Mac, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang sedang mempertimbangkan untuk mengheret kerajaan Kedah ke mahkamah berhubung perkara itu.

Walaupun, tempat pengambilan air PBAPP berada di sempadan Pulau Pinang, namun air sungai ini dibekalkan dari kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah.

Pada bulan Mei, Kedah meminta pampasan daripada kerajaan pusat untuk memulihara kawasan tadahan air Ulu Muda.

Ini kerana sebagai melestarikan hutan simpan yang berpotensi menjana pendapatan bagi negeri berkenaan.

Ketika itu, PBAPP berkata ia menyokong tindakan kerajaan Kedah untuk menuntut pampasan daripada kerajaan pusat demi memulihara kawasan tadahan air Ulu Muda.