Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun Pelabuhan Klang persoal ketepatan data korban Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang Adun Selangor hari ini membangkitkan persoalan mengenai ketepatan angka kematian rasmi pesakit Covid-19 di daerah Klang.

Hal itu menjadi perhatian Azmizam Zaman Huri apabila dia mendakwa jumlah orang Islam yang dikebumikan kerana menjadi korban wabak itu adalah hampir dua kali ganda daripada angka yang diumumkan.

Menurut Adun Pelabuhan Klang itu berdasarkan angka rasmi dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, bagi kematian akibat Covid-19 di daerah Klang antara 16 Julai hingga 10 Ogos ialah seramai 266 orang.

Bagaimanapun katanya data dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan NGO yang dilantik Hospital Tengku Ampuan Rahimah bagi menguruskan jenazah mangsa Covid-19 menunjukkan sejumlah 448 orang dikebumikan di daerah Klang bagi tempoh sama.

Pada masa sama Azmizam menegaskan dia hanya membandingkan data dari 16 Julai sehingga 10 Ogos itu berdasarkan dapatan yang diterima daripada Jais.

"Saya bertanya soalan ini kerana di Pelabuhan Klang, setiap hari ada saja ambulans kedengaran membawa jenazah dan ada juga yang meninggal dunia di rumah.

"Jadi mereka yang meninggal dunia ini direkodkan sebagai apa? Sebab (perbezaan) angkanya jauh, dan takkanlah tak ada mayat orang bukan Islam (yang meninggal akibat Covid-19), warga asing... adakah ini direkodkan?

"Tapi mengapa apabila rekod (rasmi) keluar, 183 saja kematian pada bulan Julai di daerah Klang?

"Timbul tanda tanya, adakah data ini saya boleh percaya atau tidak? Atau ada penjelasan yang yang tidak jelas dalam laporan data ini?" katanya di DUN Selangor.

Justeru Azmizam menggesa jabatan kesihatan negeri mengkaji semula data berkenaan dan mendapatkan maklumat mengenai jenazah mana yang dianggap menjadi mangsa Covid-19.

Untuk rekod setiap kematian Covid-19 mungkin mengambil masa sehingga seminggu sebelum dilaporkan secara rasmi dalam data kematian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.