Reaksi menteri: Terima kasih atas kepercayaan - KJ, amanah besar - Zafrul
Beberapa menteri yang dikekalkan dalam kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub berikrar akan melakukan yang terbaik demi negara.
Bagi Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan dilantik sebagai Menteri Kesihatan, ia adalah satu amanah yang sangat berat.
"Terima kasih kepada YAB PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi.
"Insya-Allah, amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia," katanya dalam satu mesej ringkas melalui Facebook.
Khairy, 45, akan berukar portfolio dengan Dr Adham Baba yang akan menerajui kementerian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein yang dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan pula berjanji untuk melakukan yang terbaik.
"Sentiasa bangga dan berbesar hati untuk berkhidmat demi warga ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang sangat besar jasanya kepada negara.
"Insya-Allah, will do my utmost best (saya akan lakukan yang terbaik). Saya akan pikul amanah ini sebaiknya," katanya dalam satu catatan di Facebook.
Katanya, kepercayaan perdana menteri terhadapnya untuk kembali menerajui kementerian pertahanan amat dihargainya.
Hishammuddin turut melampirkan gambarnya ketika melawat Kem Perdana, Sungai Besi ketika memegang jawatan sama pada 2017.
Turut berada dalam kabinet Ismail Sabri adalah Tengku Zafrul Abdul Aziz yang kekal sebagai Menteri Kewangan.
“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, di atas kepercayaan beliau melantik saya sebagai Menteri Kewangan.
Sesungguhnya tanggungjawab ini adalah amanah yang sangat besar dan Insya-Allah, saya dan #TeamMOF, serta agensi-agensi di bawah MOF akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara,” katanya.
Selain Zafrul yang merupakan seorang senator, Senator Radzi Jidin juga dikekalkan jawatan yang sama dalam kabinet baru hari ini.
“Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, diatas kepercayaan yang diberikan untuk saya kembali berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Amanah yang diberikan ini akan saya junjung setulus hati demi masa depan generasi pewaris negara.
‘Hasrat YAB Perdana Menteri untuk melihat setiap kementerian menjadi kementerian berprestasi tinggi akan diikhtiarkan sebaiknya. Penekanan kepada tiga konsep utama di KPM, iaitu K-Kualiti, P-Produktiviti dan M-Modenisasi akan kami teruskan dalam usaha mengukuhkan KPM sebagai sebuah kementerian berprestasi tinggi,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong, yang dilantik semula sebagai Menteri Pengangkutan pula berkata, dia mahu menyelesaikan beberapa perkara tertangguh.
“Terdapat beberapa perkara tertangguh di Kementerian Pengangkutan dan saya bersedia serta bersemangat untuk menyelesaikannya.
“Selain perancangan dan program-program pembangunan melibatkan sektor pengangkutan darat, udara dan maritim, memastikan pergerakan barangan kepada rakyat tidak terbantut ke arah pemulihan ekonomi negara juga menjadi keutamaan,” katanya di Facebook.
Selain itu, Wee berkata dia ingin mengutamakan aspek pergerakan barangan kepada rakyat untuk tidak terbantut, selari usaha ke arah pemulihan ekonomi negara berikutan pandemik Covid-19.
"Ini antara perancangan selain program pembangunan membabitkan sektor pengangkutan darat, udara dan maritim yang akan diberikan keutamaan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai