Skip to main
Logo Malaysiakini

Johari anggap kabinet baru tak membawa inspirasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Johari Abdul Ghani, membayangkan perasaan kecewanya dengan susunan anggota kabinet Ismail Sabri Yaakob seperti diumumkan perdana menteri pagi tadi.

Kata Johari dia asalnya berharap Ismail Sabri dapat membentuk kabinet dwipartisan bagi membantu kerajaan mendepani situasi sukar akibat kesan pandemik Covid-19.

Jelasnya, barisan kabinet Ismail Sabri juga sepatutnya turut membariskan kepimpinan baru yang muda dan bertenaga.

"Sebagai rakyat Malaysia dan rakan parti, saya berharap yang terbaik untuk perdana menteri demi negara dan masa depannya.

"Saya sebenarnya berharap agar perdana menteri membentuk kabinet dwipartisan (bipartisan) untuk mentadbir ketika krisis ini atau sekurang- kurangnya memperkenalkan beberapa muka baru yang muda untuk menyuntikkan lebih banyak tenaga dan semangat," katanya dalam siri ciapan di Twitter awal petang ini.

Melihat kabinet baru dibentuk itu, Johari menganggap ia sebagai "barisan (kabinet) yang tidak memberangsangkan."

Johari berkata demikian sebagai mengulas barisan kabinet serta timbalan menteri yang diumumkan Ismail Sabri menjelang tengah hari tadi. 

Negara jauh terciciri di Asean

Selain Ismail Sabri, ada 31 menteri dilantik dengan sebahagian besar adalah muka lama yang pernah menganggotai kabinet Muhyiddin Yassin sebelum presiden Bersatu itu meletak jawatan.

Pada masa sama ada beberapa pemimpin Umno yang sebelum ini tidak menganggotai kabinet dibawa masuk. Namun mereka - seperti Noh Omar, Mahdzir Khalid dan Shahidan Kassim - bukanlah muka baru kerana pernah menjadi menteri pada zaman BN.

Kabinet baru itu dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.

Ismail Sabri ketika mengumumkan senarai berkenaan berkata, tugas utama kabinet yang dibentuk hari ini adalah untuk menangani Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.

Katanya, setiap menteri juga mesti menunjukkan prestasi mereka dalam tempoh 100 hari pertama memegang jawatan.

Johari berkata perdana menteri tidak boleh berharap kabinet itu boleh 'berbulan madu' untuk seketika kerana cabaran yang menanti mereka begitu banyak termasuk penularan wabak Covid-19.

"Setakat hari ini, sudah ada lebih 14,000 oran meninggal dunia," katanya.

Bekas menteri kewangan kedua itu juga berkata ketika ini kadar pengangguran meningkat daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus dan 700,000 menganggur, selain 2.1 juta orang yang tidak mendapat pekerjaan sewajarnya.

Purata kadar pendapatan isi rumah pula, katanya, jatuh sebanyak 11 peratus sejak 2020.

"Malaysia kini tertinggal di belakang kebanyakan negara jiran termasuk Vietnam yang sudah menjadi pengeksport terbesar produk perkilangan di Asean.

"Malah kadar pelaburan langsung asing kita adalah yang laing rendah di rantau ini," katanya.