Chow gesa PM beri perhatian kepada negeri dengan peningkatan kes
Kerajaan Pulau Pinang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinet baharunya untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan menghulurkan bantuan kepada negeri terbabit termasuk Pulau Pinang.
"Saya menyeru PM baharu, Menteri Kesihatan baharu dan menteri lain yang berkaitan untuk membantu negeri-negeri ini… sama ada untuk mempercepat vaksinasi atau mengambil langkah-langkah dalam inisiatif penjagaan kesihatan awam dan memastikan kemudahan penjagaan kesihatan awam mencukupi bagi menangani peningkatan kes Covid-19," katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.
Beliau berkata ketika ini terdapat kadar kesihatan lebih tinggi akibat Covid-19 di Pulau Pinang dan perkara itu seharusnya menjadi perhatian utama semua pihak.
Pulau Pinang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 dan semalam mencatat angka harian tertinggi bagi kes baharu iaitu sebanyak 2,078 sejak pandemik itu melanda negara pada Mac tahun lepas.
Negeri itu juga merekodkan jumlah kematian tertinggi semalam iaitu 31 kes.
Terdahulu, Chow dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Pulau Pinang akan menerima sejumlah 20,000 dos vaksin Covid-19 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada Selasa depan.
"Kami berharap sumbangan ini akan mempercepat program vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor atas sumbangan itu serta Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng atas inisiatifnya dalam mendapatkan sumbangan tersebut.
Katanya bagaimanapun, pinjaman vaksin itu masih menunggu kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Chow juga berkata justeru, setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI semalam berhubung kelulusan bagi pinjaman itu dan pengembaliannya kelak.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Dr Norlela Ariffin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, exco kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud dan Klinik SelCare kerana meluluskan pinjaman 200,000 dos vaksin Covid-19.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai