Skip to main
Logo Malaysiakini

'Berkongsi dengan pelanggan' - Lim sekali lagi gesa moratorium pinjaman tanpa faedah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sekali lagi menggesa moratorium pinjaman bank diberikan dengan pengecualian faedah.

Menyifatkan industri perbankan sebagai "pemenang" di sebalik Covid-19, Lim membangkitkan keuntungan yang diraih (Malayan Banking Bhd) Maybank bagi suku kedua tahun ini, yang meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Terdapat keperluan bagi pemenang di sebalik pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi untuk membantu mereka yang telah hilang pekerjaan dan perniagaan serta bergelut untuk mencari pekerjaan atau meneruskan hidup.

"Salah satu pemenangnya adalah industri perbankan, di mana keuntungannya terus meningkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Maybank dilaporkan meraih untung bersih RM1.96 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, berbanding RM941.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Memetik Berita Harian dua hari lalu, bank itu berkata keuntungan disokong dengan margin faedah bersih (NIM) dan pinjaman yang meningkat.

Bank itu berkata bagaimanapun hasil yang dicatat bagi tempoh itu menurun kepada RM11.34 bilion, berbanding RM11.8 bilion pada suku kedua tahun lalu.

Lim berkata lagi, tidak banyak syarikat yang mencatatkan keuntungan lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lalu, seperti yang ditunjukkan institusi perbankan.

"Atas sebab ini, industri perbankan perlu berkongsi nasib baik mereka dengan pelanggan mereka dengan mengecualikan pembayaran faedah semasa tempoh moratorium pinjaman.

"Mengambil faedah dan keuntungan daripada peminjam yang mengalami kesusahan bukanlah cara 'keluarga Malaysia' seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri yang baru," katanya lagi.

Dalam pada itu, Lim yang juga ahli parlimen Bagan berkata amat penting untuk kerajaan yang baru tidak melupakan pengajaran sepanjang 17 bulan pentadbiran pimpinan Muhyiddin Yassin.

"Semua orang tahu kesilapan yang berlaku walaupun terdapat perintah kawalan pergerakan (PKP) bersiri dan proklamasi darurat".

"Kerajaan perlu menghentikan amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, dasar yang berubah-ubah, pusingan U dalam SOP dan kegagalan untuk melakukan vaksinasi lebih awal, melaksanakan program ujian dan saringan massa yang menyeluruh.

"Walaupun tumpuan diberikan kepada usaha melawan Covid-19 dan menyelamatkan nyawa, perhatian segera perlu diberikan untuk menyelamatkan mata pencarian banyak rakyat dan perniagaan yang musnah akibat kemelesetan ekonomi," katanya lagi.