Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis dalam usaha sahkan 2 ahli IS-K ditahan Taliban warga M'sia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis sedang cuba mengesahkan yang dua daripada enam anggota Islamic State Khorasan Province (IS-K) yang ditahan oleh Taliban yang dilaporkan warga Malaysia.

Ia selepas The Times UK memetik ketua perisikan Taliban, Maulawi Saifullah Mohammed berkenaan penahanan enam individu itu, dengan dua daripadanya dikatakan warga Malaysia.

"Empat adalah orang Afghan tetapi nampaknya dua lagi orang Malaysia," katanya.

Mereka ditahan dalam satu pertempuran antara Taliban dan IS-K di Kabul pada malam Khamis.

Terdahulu pada hari itu, IS-K melancarkan serangan di lapangan terbang antarabangsa Kabul yang dilaporkan meragut sehingga 200 nyawa.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis belum memiliki apa-apa maklumat berkenaan penglibatan warga Malaysia dalam kegiatan IS di Afghanistan.

"Bagaimanapun, polis telah mengemukakan permohonan kepada agensi-agensi keselamatan luar negara bagi mengesahkan laporan serta dakwaan berkenaan.

"Siasatan juga sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut, melibatkan pejuang IS warga Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara," katanya dalam kenyataan semalam.