Jika kabinet Ismail Sabri hebat, kenapa cuma KJ menonjol? - Kadir
Apabila Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri kesembilan pada 20 Ogos lalu, beberapa penganalisis membayangkan ramai muka baru akan dilantik naib presiden Umno itu ke dalam kabinet.
Sebagai perdana menteri baru, Ismail dikatakan mampu menjernihkan imej 'kerajaan gagal' pentadbiran Perikatan Nasional pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Pun begitu, pengumuman senarai kabinet selepas seminggu pelantikannya sebagai perdana menteri dikritik beberapa pihak sebagai 'kitar semula' jemaah menteri pentadbiran PN sebelum ini.
Menurut wartawan veteran A Kadir Jasin, barisan kabinet Ismail "tidaklah lebih baik atau meyakinkan berbanding kabinet lama terajuan Bersatu."
"Ia sekadar kitar semula kabinet Muhyiddin dengan sedikit eksperimen iaitu membawa masuk beberapa orang pemimpin toksik dari parti Umno.
"Ya, kitar semula sisa adalah baik. Ia membantu membersihkan alam sekitar. Tetapi ada sisa yang terlalu kotor dan toksik untuk dikitar semula umpamanya sisa nuklear," katanya sinis pada hantaran di media sosial.
Itulah sebabnya kata Kadir, hanya Khairy Jamaluddin saja yang dilihat menonjol dan menarik perhatian banyak pihak.
“Kalau kabinet Ismail Sabri ini hebat dan menyerlah, tentulah bukan Khairy Jamaluddin seorang saja yang menarik minat pengulas dan penggiat media sosial,” katanya.
Mengulas lanjut, Kadir memetik nama menteri 'kitar semula' yang didawanya gagal menguruskan pandemik Covid-19 tetapi masih dikekalkan dalam kabinet seperti bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.
Jelas Kadir lagi, banyak pengulas dan peserta media sosial memberi komen yang positif dan meletakkan "harapan tinggi" kepada Khairy sebagai menteri kesihatan baru.
“Ini boleh jadi kerana daripada empat orang menteri kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terlibat terus dengan usaha mengawal pandemik Covid-19,
"Khairy adalah antara yang paling berjaya walaupun bukan tanpa kontroversi,” kata Kadir dalam ulasannya di Sinar Harian pula.
Katanya, walaupun pada awalnya terdapat beberapa kelemahan dan kontroversi dalam mengendalikan program vaksinasi negara, tetapi prestasi ahli parlimen Rembau itu sebagai menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) adalah cukup cemerlang sepanjang tempoh 17 bulan dalam kerajaan Muhyiddin.
Untuk rekod, walaupun jumlah besar kabinet Muhyiddin - dengan 70 menteri dan timbalan menteri - dikritik hebat sebelum ini, namun Ismail mengekalkan jumlah sama.
Bukan saja mengekalkan jumlahnya, Ismail juga mengekalkan hampir semua lantikan Muhyiddin.
Tidak termasuk Ismail, hanya lima menteri baru dilantik, 16 menteri dikekalkan portfolio manaka 10 lagi ditukar kementerian.
Bagi timbalan-timbalan menteri pula, hanya empat muka baru dilantik, sementara 23 lagi dikekalkan (termasuk portfolio sama) dan 11 lagi ditukar.
Terdapat juga 'muka baru' yang dibawa masuk ke dalam kabinet Ismail merupakan ahli parlimen yang pernah menjadi menteri ketika era BN dulu.
Antaranya, Shahidan Kassim yang juga ahli parlimen Arau dilantik mengetuai Kementerian Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Annuar Musa (Ketereh) yang berpindah ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai