Polis cekup lelaki disyaki rogol, liwat, bunuh wanita
Kejam dan tidak berperikemanusian, demikian perbuatan yang menimpa seorang wanita yang ditemukan mati dipercayai dirogol dan diliwat sebelum dibunuh oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Taman Seruling Emas, Sungai Jawi, di Nibong Tebal semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern berkata pihaknya menerima laporan pada jam 7.20 malam memaklumkan penemuan mayat seorang wanita berusia 40 tahun disorok di bawah katil di sebuah rumah teres jenis dua tingkat.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang suspek berusia 29 tahun, yang mempunyai lima rekod jenayah, ketika bersembunyi di Changkat Sungai Jawi, tidak jauh dari lokasi kejadian, kira-kira jam 9 malam tadi.
Lee berkata kejadian disedari seorang wanita yang juga rakan mangsa ketika datang ke rumah tersebut dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali sedang keluar dari kediaman berkenaan dengan menaiki motosikal.
Katanya, rakan mangsa berusia 41 tahun itu berasa curiga dan menghubungi kakak mangsa bagi memaklumkan perkara itu.
"Kakak mangsa kemudian menghubungi rakan lelakinya dan meminta memeriksa rumah adiknya sebelum lelaki tersebut memaklumkan kepada polis selepas mendapati keadaan dalam rumah berselerak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya pemeriksaan lanjut bersama pihak polis menemukan wanita tersebut yang sudah tidak bernyawa dalam keadaan terbaring di bawah katil dalam bilik di tingkat bawah dan mayat kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Lee berkata ketika siasatan awal dijalankan, jiran mangsa memaklumkan telah ternampak pergerakan seorang lelaki tidak dikenali keluar dari rumah wanita itu pada jam 4.30 petang dengan menaiki sebuah motosikal jenis SYM.
Katanya polis bertindak melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahan suspek yang kemudian mengaku memecah masuk rumah mangsa kira-kira jam 3 pagi semalam selepas menghisap dadah bersama rakannya di Sungai Bakap.
“Lelaki itu mengaku meminjam motosikal rakannya untuk ke kawasan Taman Seruling Emas sebelum memecah masuk ke rumah mangsa dengan cara memanjat tembok pagar di bahagian belakang dan membuka cermin tingkap. Suspek telah masuk ke bilik tidur mangsa yang ketika sedang tidur dengan berseluar pendek," katanya.
Lee berkata suspek telah menghampiri wanita itu sebelum bertindak merogol serta meliwatnya dan mangsa yang terkejut berusaha menjerit serta melawan lelaki itu.
Menurutnya suspek bertindak menyumbat seluar dalam ke dalam mulut wanita itu, namun mangsa masih melawan sebelum lelaki itu menutup mulut mangsa dengan menggunakan tangan dan selepas beberapa lama mangsa tidak bergerak dipercayai telah meninggal dunia.
"Namun suspek terus merogol dan meliwat mangsa beberapa kali walaupun menyedari wanita itu telah mati, sebelum menyembunyikan mayat mangsa di bawah katil dan mencuri duit, telefon bimbit serta barangan kemas mangsa," katanya.
Katanya suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai